fbpx

Perkenal ikon Kuala Kangsar menerusi lukisan mural

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Memory Lane Kuala Kangsar mempamerkan sebanyak 40 lukisan mural ikon Kuala Kangsar yang terkenal sebagai bandar diraja di Perak.

KUALA KANGSAR – Sorotan sejarah mengenai Kuala Kangsar sebagai bandar diraja diterjemahkan kepada orang ramai menerusi 40 lukisan mural di Memory Lane Kuala Kangsar, Jalan Syahbandar di sini.

Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Saiful Azli Mohamed Nor berkata, kesemua lukisan mural yang menghiasi belakang deretan 35 rumah kedai itu berupaya me­lonjakkan daerah ini sebagai destinasi pelancongan berinformasi.

Menurutnya, karya barisan pelukis daripada Lukisan Art Studio di sepanjang laluan 150 meter (m) itu memaparkan ikon-ikon unik yang sinonim dengan Kuala Kangsar sebagai bandar diraja di Perak.

“Antara ikon itu adalah Jambatan Victoria, Istana Kenanga dan makanan popular Kuala Kangsar seperti laksa.

“Turut dipaparkan pokok kangsar yang menjadi asal-usul kepada nama Kuala Kangsar, bunga rasmi daerah ini iaitu bu­nga tasbih. Lukisan lain pula adalah kraftangan, seni besi, seni ukiran khat, ikon sejarah dan seni budaya bandar ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Saiful Azli menunjukkan salah satu mural yang terdapat di Memory Lane Kuala Kangsar, Jalan Syahbandar.

Saiful Azli berkata, pelaksa­naan projek lukisan mural oleh MPKK itu juga dibuat agar ia selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah program flagship ke-10 Ekonomi Pengalaman yang bermatlamat menyemarakkan warisan di negeri ini.

Antara usaha lain yang dilakukan MPKK adalah menerusi pemasangan kod QR pada lukisan tersebut dalam pada terdekat supaya pelancong dapat mengimbas seterusnya mendapatkan maklumat terperinci mengenai sesebuah mural tersebut di Memory Lane Kuala Kangsar.

“Kita akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa di Memory Lane Kuala Kangsar antaranya penggunaan dwibahasa bagi paparan maklumat lukisan mural selain lampu bagi tujuan keselamatan dan pengindahan.

“Lorong ini merupakan lorong ikon di Kuala Kangsar dan maklumat yang disediakan menjadikan ia salah satu lokasi pembelajaran luar bilik darjah terutama bagi pelajar sekolah.

“Buat masa ini, orang ramai boleh melihat sendiri tahun sesuatu ikon itu siap pembinaannya misalnya ada tulisan tahun 1900 pada lukisan Jambatan Victoria,” kata beliau.

Tambahnya, lukisan mural itu siap Disember lalu dan mengambil masa dua bulan disiapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI