Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman yang dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023 merupakan wirawati di sebalik kejayaan mengekang penyakit-penyakit berjangkit di Malaysia termasuk virus Nipah, HIV dan Covid-19.

Kenali Dr. Adeeba, pakar rujuk negara tentang virus-virus baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Masih segar dalam ingatan wanita itu saat negara seolah-olah berada di hujung tanduk akibat dibadai pandemik maut Covid-19.

Ketika itu, di bahu Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman tergalas amanah dan tanggungjawab besar sebagai pakar rujuk pihak kerajaan dalam mengekang virus tidak diundang dari Wuhan, China itu.

Cabaran yang dilaluinya sekitar tahun 2020 begitu getir dan ia menjadi pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan wanita hebat ini sepanjang kariernya sebagai ahli akademik dan pakar kesihatan penyakit berjangkit tanah air.

Diberi tanggungjawab besar oleh kerajaan dalam mengekang virus berbahaya itu dengan hari-hari berlaku kematian, ia merupakan situasi yang baginya begitu mencabar.

“Hanya Allah yang tahu cabaran yang dilalui saya. Hampir tiga tahun kita berperang dengan Covid-19 dan akhirnya kita semua berjaya mengawalnya ke tahap lebih baik walaupun ia masih belum berakhir.

“Pengorbanan kami sebagai frontliner (barisan hadapan) siang dan malam dalam memastikan setiap nyawa dapat diselamatkan akhirnya dapat dihela dengan nafas lega.

“Meskipun ramai juga dalam kalangan saudara-mara kita yang tewas dan menjadi korban tidak berdosa disebabkan Covid-19, tetapi akhirnya kita berjaya mengekang virus tersebut daripada terus memakan nyawa dan menular,” kata wanita itu kepada Aura.

Mungkin ramai tidak tahu atau kurang mengenali, wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini sebenarnya merupakan wira di sebalik tabir yang menjadi insan penting ketika negara mula dibadai Covid-19 empat tahun lalu.

Adeeba ketika itu merupakan pakar kesihatan penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ahli akademik UM.

Tidak sekadar itu, dia juga merupakan pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia sejak 1996 hinggalah ke detik ini.

Berkesempatan menemu bual insan yang baru sahaja dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2023 ini, Dr. Adeeba yang kini merupakan Presiden dan Pro Naib Canselor Universiti Monash (Malaysia) tidak lokek berkongsi pelbagai perkara termasuk kisah perjalanan hidupnya.

Diumumkan sebagai Tokoh Akademik Negara pada Oktober tahun lalu, Adeeba mengakui terharu dengan pengiktirafan tersebut.

“Kalau ikutkan saya sebenarnya tidak pernah apply (mohon) apatah lagi nak mencalonkan diri dalam anugerah tersebut, tetapi ini semua kerja rakan-rakan saya.

“Merekalah yang mencalonkan nama saya dalam anugerah berprestij tersebut dan rezeki berpihak kepada saya.

“Alhamdulillah atas pengiktirafan bermakna dan cukup besar ini. Ya, pastinya anugerah ini akan menjadi inspirasi tidak sahaja kepada saya tetapi semua ahli akademik yang lain,” ungkapnya.

Terdahulu, pada tahun 2022, Adeeba yang merupakan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERiA) Universiti Malaya dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah.

Lebih mengagumkan, beliau merupakan rakyat Malaysia pertama memegang portfolio besar tersebut.

Ditebak pertanyaan apa yang membuatkan dirinya memilih kerjaya sebagai pegawai perubatan, Adeeba memberitahu selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), rezekinya terpilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan di Australia.

Akui Adeeba, dirinya sebenarnya tidak pernah bercita-cita bergelar doktor perubatan apatah lagi bergelumang dalam dunia penyakit berjangkit seperti HIV atau AIDS.

“Selepas tamat SPM, keputusan saya melayakkan untuk saya menerima tajaan biasiswa melanjutkan pelajaran ke Australia dalam bidang perubatan.

“Jadi, tanpa berfikir panjang, saya terima dan sahut cabaran tersebut. Tak silap saya waktu itu sekitar tahun 1981 saya mula mendaftarkan diri di Universiti Monash di Australia.

“Saya menghabiskan masa selama lebih kurang enam tahun sampailah saya berjaya habiskan pengajian pada tahun 1987.

“Selepas itu saya mula berkhidmat dari tahun 1988 sebagai houseman seterusnya doktor dan mendapat latihan khusus dalam perubatan dalaman serta penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Monash dan Hospital Penyakit Berjangkit Fairfield, Melbourne,” katanya.

Jelas Adeeba, sejak itu juga, dia mula melakukan penyelidikan dan mendapatkan kepakaran dalam pengkhususan penyakit berjangkit selama tiga tahun bermula dari 1993 hingga 1995.

Cerita ibu kepada dua cahaya mata lelaki berusia 24 dan 26 tahun ini lagi, dia menghabiskan suku daripada hidupnya (16 tahun) di bumi Australia sebelum pulang ke tanah air pada 1996.

Menurutnya, sejak pulang ke tanah air, dia mula bertugas di PPUM sebagai pakar perubatan penyakit berjangkit dan pensyarah di universiti sama.

“Jadi, apabila pulang ke Malaysia untuk mencurah bakti, saya ditempatkan di PPUM dengan tumpuan kepada pencegahan wabak penyakit berjangkit seperti HIV, denggi, tibi dan virus baharu.

“Setahun selepas itu, saya menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di PPUM dan dilantik sebagai Dekan Fakulti Perubatan UM serta Profesor Madya Adjung di Universiti Yale, Amerika Syarikat,” katanya.

Di samping suami dan dua anaknya.

Berkongsi mengenai cabaran yang dilalui ketika awal penubuhan Unit Penyakit Berjangkit di negara sendiri, Adeeba mengakui terdapat pelbagai kekangan dan cabaran tersendiri.

Katanya, paling menjadi cabaran adalah kesedaran dan ilmu masyarakat kita yang pada ketika itu masih rendah terhadap penyakit berjangkit.

“Bukan mudah sebenarnya untuk memberi kesedaran dan ilmu kepada masyarakat di negara ini mengenai apa itu HIV dan AIDS.

“Apabila mendengar dua istilah itu, semua jadi takut dan wujud skeptikal negatif terhadap penghidap penyakit berjangkit itu lebih-lebih lagi Malaysia masih baru dengan perkara (penyakit) tersebut.

“Justeru, kami sebagai barisan terawal perlu menerangkan dan menghebahkan mengenai kaedah kawalan berbentuk program berkaitan penyakit berjangkit,” katanya yang mengakui sehingga kini pun masih wujud stigma sama dalam kalangan masyarakat terhadap HIV dan AIDS.

Tidak sampai tiga tahun berkhidmat dan terus-menerus melakukan penyelidikan kaedah kawalan penyakit, beliau diuji dengan kedatangan virus Nipah pada 1999.

Ketika itu, katanya, dia antara pakar perubatan yang siang malam melakukan kajian dan mencari rawatan sesuai ketika negara berdepan virus tersebut.

Hasil daripada kerja keras dan usahanya memerangi virus Nipah tersebut, usaha itu diperakui melalui penerimaan Anugerah Sains Tun Mahathir dan Anugerah Merdeka atas peranannya sebagai Ahli Pasukan Penyiasatan Nipah UM.

Beberapa tahun selepas itu, pada Januari 2006, dia dilantik sebagai Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) bagi menggantikan Datin Paduka Marina Mahathir.

Sejak itu, pelbagai jawatan dalam dan luar negara diterimanya antaranya menjadi ahli Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Ahli Panel Pakar Saintifik UNAID mengenai HIV.

Adeeba juga pernah dilantik sebagai penasihat kepada pelbagai jawatankuasa di bawah WHO mengenai penyakit HIV dan AIDS.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam pembentukan dan kegiatan serta inisiatif kerjasama dalam rangkaian penyelidikan HIV serantau iaitu TREAT Asia dan dipilih sebagai presiden pertama dari Asia bagi Persatuan AIDS Antarabangsa pada 2020.

Ditanya adakah beliau akan terus berjuang dan aktif melakukan apa yang diperjuangkan selama ini, Adeeba memberitahu, dirinya tetap akan terus melakukannya sampai bila-bila selagi mana diberi kepercayaan, ruang dan kesihatan.

Katanya, penyakit berjangkit sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya dan dirinya tetap aktif mempengerusikan serta melakukan pelbagai program berkaitan penyakit berjangkit sehingga ke hari ini meskipun sudah bersara secara rasmi sebagai ahli akademik dan pakar perubatan pada Mei tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN