JOHOR BAHRU – Pelantikan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula hari ini disambut penuh gembira oleh seluruh lapisan rakyat bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara.
Perasaan terharu, gembira, bersyukur dan bangga turut diluahkan oleh rakyat seluruh negara yang sama-sama mendoakan kesejahteraan Sultan Ibrahim sebagai ketua negara yang baharu.
Alumni Dewan Muda Johor, Raden Mohammad Azwan berkata, pelantikan baginda mampu memberikan dinamik yang baharu dalam hubungan antara raja dan rakyat di negara ini.
“Ketegasan Tuanku Sultan Ibrahim dalam mentadbir negeri Johor selama ini sehingga membawa Johor ke tahap yang membanggakan daripada segala aspek seperti tadbir urus kerajaan, ekonomi serta politik.
“Ketegasan baginda dalam mengingati tugas dan peranan utama ahli-ahli politik dan kerajaan yang memimpin amatlah diharapkan oleh rakyat.
“Ini kerana dengan keadaan politik Malaysia yang sentiasa bergolak, ketegasan baginda amat diperlukan agar pemimpin yang dipertanggungjawabkan fokus kepada mentadbir dan membantu rakyat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 34, berkata, keperibadian Sultan Ibrahim menjadi harapan besar dalam membawa kemakmuran dan kehidupan yang lebih aman kepada rakyat.
“Saya orang Terengganu, tetapi amat kagum dengan keperibadian Tuanku Sultan yang dekat di hati rakyat, selalu turun mencemar duli jumpa rakyat menerusi program Kembara Mahkota Johor.
“Saya doakan baginda dan Permaisuri Johor diberikan kesihatan yang baik untuk memerintah negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penggerak Pengguna Negeri Johor, Amin Samad berharap baginda dapat menjadi suara rakyat dalam menyalurkan permasalahan yang dihadapi kepada kerajaan.
“Saban hari kita lihat rakyat semakin terbeban dengan tekanan ekonomi, harga barang semakin naik, jadi besarlah harapan kami rakyat jelata mahukan satu kerajaan yang stabil dari segi politi,” katanya.
Bagi seorang pengamal media, Ho Hwa Kiong pula, pelantikan Sultan Ibrahim menjadi harapan buat semua kaum khususnya dalam mengeratkan silaturahim, toleransi serta menanam sifat harmoni dalam masyarakat sekaligus mengukuhkan perpaduan.
“Jika kita lihat, baginda dapat menzahirkan ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri Johor yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di bawah payung besar Bangsa Johor.
“Jadi dengan kebijaksanaan baginda dalam mengharmonikan ikatan perpaduan di Johor, diharap akan turut sama dilaksanakan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum di negara kita,” katanya.
Terdahulu, Sultan Ibrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 menggantikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang yang menamatkan tempoh pemerintahan semalam.














