fbpx

Hazani dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (dua kanan) menyerahkan surat pelantikan kepada Hazani (dua kiri) di Kementerian Dalam Negeri tadi. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) berkuat kuasa mulai hari ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelantikan beliau berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan, ketenteraman, penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

“Beliau mula berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun 1987 dan diberi kepercayaan melaksanakan penugasan khas mahupun sulit bagi membanteras kegiatan jenayah, penyeludupan, rompakan dan lain-lain aktiviti jenayah.

“Hazani juga banyak menumpaskan elemen dan cubaan pencerobohan bersenjata sewaktu ditugaskan sebagai Assistan Komissioner Polis Bahagian Pasukan Khas di kawasan Pantai Timur Sabah sehinggalah diamanahkan tanggungjawab sebagai Komander Eastern Command di ESSCOM,” katanya pada sidang akhbar khas di sini tadi.

Katanya, beliau juga yakin akan pengetahuan dan kepakaran Hazani dalam memacu kecemerlangan agensi baharu itu sebagai sebuah agensi barisan hadapan yang bertanggungjawab meningkatkan aspek integriti dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan MCBA yang akan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024.

“MCBA merupakan agensi barisan hadapan di pintu- pintu masuk negara termasuk pelabuhan dan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan dan pemeriksaan secara bersepadu di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan.

“Secara umumnya pelaksanaan MCBA merupakan agenda nasional dalam memperkasa tiga aspek utama iaitu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di pintu masuk negara, mengurangkan ketirisan hasil negara dan meningkatkan aspek integriti dalam kalangan penguatkuasa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI