fbpx

18 sekolah di Johor sedia dijadikan PPS sepanjang peperiksaan SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZMAN (dua dari kanan) beramah mesra dengan para pelajar yang mengambil peperiksaan SPM ketika meninjau hari pertama SPM di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sebanyak 18 buah sekolah di negeri ini telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berlangsung.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Azman Adnan berkata, 18 sekolah itu melibatkan 21 pusat peperiksaan.

Menurut beliau, 18 buah sekolah tersebut melibatkan enam daerah iaitu Batu Pahat, Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Tangkak.

“Daerah Batu Pahat melibatkan tujuh pusat peperiksaan di lima buah sekolah diikuti Segamat (4), Kluang dan Kota Tinggi (3), sementara di Kulai dengan tiga pusat peperiksaan di dua buah sekolah dan satu pusat peperiksaan di sebuah sekolah di Tangkak.

“Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, SMK Yong Peng, SMK Kahang, SMK Seri Aman, SMK Tun Seri Lanang dan SMK Chaah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan Lawatan Kerja Sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah (STF) di sini hari ini.

Sementara itu, Azman turut memberitahu, sebanyak 58 pusat peperiksaan dan laluan ke pusat peperiksaan di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berdepan banjir sepanjang tempoh monsun timur laut, ketika ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa calon SPM 2023 di Johor melibatkan seramai 48,426 calon di 364 pusat peperiksaan yang dibuka di 301 buah sekolah di negeri itu.

“161 orang merupakan calon berkeperluan pendidikan khas, dengan seramai 5,018 orang petugas terlibat sepanjang peperiksaan ini berlangsung,” jelasnya.

Terdahulu, Azman turut menyampaikan kata-kata semangat kepada seramai 148 calon SPM 2023 di STF termasuk anak bongsunya, Farah Amira Aqilah yang turut merupakan calon di sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI