fbpx

Malaysia selangkah lagi kelima terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NISYA (dua dari kiri) tidak dapat beraksi menentang Uruguay malam ini selepas mengalami kecederaan serius di bahagian lutut ketika menentang New Zealand sebentar tadi. - FIH

PETALING JAYA – Barisan pemain skuad hoki lima sebelah (5s) wanita negara membuktikan keinginan tinggi untuk menamatkan saingan di tempat kelima bagi mengubati kekecewaan gagal ke separuh akhir.

Hasrat itu mampu direalisasikan selepas mereka mengesahkan tempat ke penentuan tempat kelima dan keenam malam esok setelah menewaskan New Zealand 5-3 pada klasifikasi lima hingga lapan di Muscat, Oman sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad 5s wanita negara, Nabil Fiqri Mohd. Noor berpuas hati melihat reaksi balas daripada anak-anak buahnya susulan kekalahan 4-6 kepada Afrika Selatan dalam aksi suku akhir di sebelah petang tadi.

Bagaimanapun, tugas sukar menanti Nabil malam esok kerana perlu merencanakan taktikal terbaik tanpa Qhairunisya Mohd. Zanili yang mengalami kecederaan serius di bahagian lutut dalam perlawanan itu.

“Ia memang memberi kesan kepada pasukan kerana kita tahu hoki 5s adalah sukan yang laju. Namun, kita akan tetap beri tentangan sengit untuk mendapatkan tempat kelima,” katanya.

Dalam aksi itu, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Nur Zafirah Aziz sebelum New Zealand bangkit mengikat kedudukan melalui Oriwa Hepi pada minit keempat.

Skuad negara terus mengganas dengan menambah tiga lagi gol menerusi Ellya Syahirah Ellias pada minit keempat, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (m-14) dan Nur Zafirah (m-25).

Ia adalah jaringan keenam peribadi buat Zafirah yang akan mewakili Malaysian University dalam saingan Liga Hoki Malaysia 2024, sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak Malaysia pada kejohanan itu.

Biarpun Leah Arthur-Worsop cuba merapatkan jurang buat New Zealand pada minit ke-26, tetapi Nurul Safiqah Mat Isa memastikan Malaysia terus mendahului seles dengan gol kelima di penghujung permainan.

New Zealand tidak berputus asa dan berhasil meraih jaringan kedua peribadi daripada Oriwa Hepi, tetapi ia sudah tidak membawa apa-apa makna apabila Malaysia menang 5-3.

Skuad negara akan meneruskan aksi terakhir kejohanan menentang Uruguay pada penentuan tempat kelima dan keenam malam ini (10 malam Malaysia) selepas lawan itu layak menerusi kemenangan 5-3 ke atas Ukraine. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI