KOTA TINGGI – Persiapan majlis perkahwinan melibatkan sebuah keluarga di Felda Air Tawar 1 di sini, terjejas selepas banjir mengejut melanda kawasan berkenaan semalam.
Halidah Sungib, 39, berkata, separuh daripada bahan-bahan masakan yang telah dibeli untuk majlis perkahwinan anak tunggalnya turut tenggelam mengakibatkan kerugian kira-kira RM5,000.
Dakwanya, banjir berlaku kali ini amat teruk dan berlaku secara tiba-tiba selain air naik secara mendadak tidak sampai 10 minit seola-olah seperti kejadian kepala air.
Dia yang tidak menyangka rumahnya dinaiki air berkata, ketika kejadian, dia sedang ke rumah penduduk lain yang sudah dilimpahi banjir untuk membantu sebelum dimaklumkan bahawa rumahnya sendiri dinaiki air.
“Majlis perkahwinan anak sepatutnya berlangsung bulan Februari ini tetapi ditunda pada September. Banyak persiapan majlis yang telah dibuat sebenarnya.
“Barang untuk masak majlis separuh sudah kami beli, semuanya tenggelam selepas air masuk sampai paras paha di dalam rumah.
“Barangan cenderahati untuk tetamu yang telah siap mujur tidak terjejas kerana berada di tempat tinggi sedikit,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.
Katanya, ekoran banjir yang naik secara mendadak, dia terpaksa mendukung suaminya, Muhammad Fadhil Mohd. Shah, 30, yang merupakan orang kelainan upaya untuk menyelamatkan diri.
Tambahnya dia juga bersyukur kerana sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting keluarga termasuk wang tabung untuk majlis pernikahan anaknya itu.
Dalam pada itu, seorang pesara guru, Azmi Mohd. Daud, 58, berkata, dia terpaksa mengikat keretanya dengan tali selepas tidak sempat mengalihkan di tempat yang selamat.
“Hujan memang lebat, namun kami tidak jangka akan berlaku banjir berdasarkan kiraan saya air di Sungai Johor dalam keadaan surut dan berlaku banjir bila air pasang besar. Namun, hujan lebat semalam memang luar biasa.
“Tiba-tiba sahaja dalam lima minit saya masuk dalam kereta sudah tidak boleh keluar kerana air banjir sudah berada pada paras pintu menyebabkan saya terpaksa ikat kereta agar tidak dibawa arus banjir,” katanya.
















