PETALING JAYA – My Events International salah satu penganjur program tahunan popular tatkala tibanya musim perayaan optimis untuk mengekalkan rekod kecemerlangannya dalam menjayakan program Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya (ABxFGR) 2024.
Melalui gandingannya pada tahun ini dengan Absolut Events & Management, festival jualan itu akan berlangsung selama 66 jam tanpa henti bermula pada 29 Mac hingga 1 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif My Events, Hemma Candy berkata, pihaknya mengunjurkan jualan kira-kira RM20 juta daripada festival tersebut dan ia mampu dicapai memandangkan rekod kejayaan syarikat yang menganjurkan festival jualan raya sebelum ini.
Disokong oleh faktor lokasi strategik di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang lengkap dengan kemudahan, ia bakal menjanjikan pengalaman membeli-belah persiapan raya yang selesa bersama keluarga.
“Ini merupakan tahun ketiga penganjuran dan kami yakin mampu menarik lebih dua juta pengunjung dengan lebih 900 tapak jualan disediakan.
“Dengan tapak letak kereta yang banyak dan dewan yang besar serta berhawa dingin selain pilihan yang sangat banyak, kami yakin tahun ini ia akan menjadi lebih gempak dan meriah.
“Malah kami juga memberi garis panduan buat vendor agar menawarkan jualan pada harga yang berpatutan agar bersesuaian dengan keadaan ekonomi sekarang.
“Turut diadakan adalah sesi happy hour yang mana ada barangan yang ditawarkan sehingga potongan 50 peratus,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Hemma menjelaskan, festival itu semakin meriah dengan kehadiran lebih 120 selebriti dengan persembahan dan promosi seperti cabutan bertuah sepanjang acara berlangsung.
Lebih menarik apabila syarikat menawarkan peluang untuk memenangi hadiah bernilai lebih RM250,000 menerusi aktiviti Money Chamber, Wheel of Fortune, Hamper Raya, dan Happy Hour.
Tidak hanya terhad kepada sektor pakaian, kecantikan, dan makanan, ABXFGR tahun ini turut memberi peluang kepada sektor elektronik dan pelbagai sektor lain untuk berniaga di situ.
Malah tarikan utama, mini Absolut FoodFest adalah dengan kehadiran lebih 80 vendor yang menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa atau bersahur.
“Kami menyediakan fasiliti dan kemudahan yang lengkap di sini.
“Ada persiapan raya dan juga gerai-gerai makanan untuk berbuka puasa.
“Jika dilihat daripada pengalaman pada tahun lalu, suasana festival sangat meriah dengan keluarga berbuka puasa di sini sambil membeli-belah. Tak perlu risau cuaca panas atau hujan,” tambahnya.
Hemma menjelaskan, My Events International sedang berusaha untuk menganjurkan ABxFGR24 di Johor seminggu sebelum acara di Kuala Lumpur.
Festival Raya Johor bakal berlangsung pada 22 hingga 24 Mac ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada komuniti Selatan menyertai program meriah ini. -KOSMO! ONLINE















