fbpx
Clara (kanan) menjual buah-buahan dan sayuran daripada hasil pertanian petani-petani dari Cameron Highlands dan Lembah Klang.

Peluang kedua sayur, buah reject

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJALANI kehidupan sebagai seorang bujang di ibu kota memberikan cabaran buat pemuda itu terutama dari segi kewangan.

Dengan kos sara diri yang semakin meningkat dia memilih untuk berhemah dalam berbelanja termasuk menyediakan bekal sendiri untuk dibawa bekerja.

Bagi pemuda asal Tanah Merah, Kelantan, Ruzaidi Amin, 34, meskipun hidup sendiri, dia turut merasai kenaikan harga barang terutama bahan masakan.

“Setiap minggu saya akan ke pasar raya untuk membeli stok barang basah termasuk sayuran dan buah-buahan untuk dijadikan makanan bekal ke tempat kerja dan membandingkan harga dari mula-mula menetap di Kuala Lumpur hingga hari ini.

“Jika dahulu, anggaran perbelanjaan saya hanya sekitar RM100 ke RM150 untuk stok bahan basah selama dua ke tiga minggu tetapi hari ini jumlah itu hanya bertahan untuk seminggu,” katanya ketika dihubungi K2.

Tambah pekerja di sektor swasta itu, melihat kepada kos barangan yang semakin meningkat, dia kian resah dalam mengatur perbelanjaan.

Sehingga pada suatu hari dia dikenalkan oleh seorang rakan tentang sebuah kedai yang menjual barangan basah seperti sayur dan buah-buahan pada harga yang sangat berpatutan.

Katanya, kedai yang dikenali sebagai Graze Market di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu bukan kedai runcit biasa sebaliknya menjual barangan basah terutama sayur dan buah-buahan segar dari petani, namun tidak diterima untuk jualan di pasar raya.

Sesetengah buah-buahan turut dijual secara sejuk beku.

“Sebelum ini saya tidak tahu adanya konsep jualan sayuran dan buahan reject meskipun masih segar kerana tidak mengikut spesifikasi untuk jualan di rak pasar raya.

“Mengetahui hal itu, saya cuba berkunjung ke kedai berkenaan dan belajar sesuatu yang baharu bahawa sayur dan buah seperti ini masih layak dimakan kerana kesegarannya sama seperti dijual di pasar raya,” ujarnya.

Graze Market merupakan sebuah kedai runcit dengan misi untuk mengurangkan pembuangan sisa makanan apabila kedai ini menjual barangan basah dan kering yang mempunyai kecacatan (defect) tetapi masih segar dan layak dikonsumsi.

Diasaskan oleh Clara Wan, 37, sejak 2019, idea penubuhan Graze Market timbul selepas dia mengetahui hakikat bahawa petani sayur dan buah banyak membuang hasil tanaman yang tidak diterima kerana mengalami kecacatan.

“Saya mengetahui hal tersebut kerana suami merupakan pengedar sayuran dan buah-buahan dari petani kepada pasar raya dan setiap hari dia akan membawa pulang banyak bahan tersebut ke rumah kerana mahu dibuang oleh petani.

“Apabila saya bertanya kepada dia (suami) mengapa ada banyak sayur dan buah dibawa pulang, dia beritahu bahawa semuanya ditolak (reject) pasar raya kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, setiap kali dia melihat sayur tersebut, dia berasakan kualiti dan kesegarannya masih sama seperti di pasar raya cuma mempunyai sedikit kecacatan seperti calar, tidak lurus dan warna tidak sekata.

Oleh kerana dia pernah bekerja dengan badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dan merasakan sayuran ini boleh memberi manfaat kepada golongan memerlukan, dia kemudian menubuhkan Saving Graze yang kemudian membawa kepada pembukaan Graze Market.

“Sebenarnya buah atau sayur ini masih segar sama seperti di pasar raya cuma ada sedikit calar atau warnanya tidak sekata.

“Sebagai contoh, lada benggala ada pelbagai warna, jika ada yang warnanya bercampur seperti hijau dan kuning pada satu sayur ia dikira defect oleh petani dan ditolak pasar raya,” katanya.

Kongsi wanita asal Petaling Jaya itu, Graze Market bukan sekadar mempunyai misi untuk mengurangkan pembuangan sisa makanan, tetapi pada masa sama membawa usaha kebajikan untuk membantu golongan B40 mendapatkan sumber bahan basah segar pada harga mesra poket.

“Model perniagaan kami adalah dengan mengumpulkan sumber bahan basah daripada kira-kira 45 rakan kerjasama dan meletakkannya untuk jualan di kedai kami.

“Antara rakan kerjasama kami adalah petani-petani dari seluruh Malaysia termasuk Cameron Highlands dan sekitar Lembah Kelang.

“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan badan korporat untuk projek tanggungjawab sosial (CSR) dengan menyediakan kotak amal yang mengandungi barang-barang keperluan masakan dari Graze Market,” ujarnya.

Beberapa lebihan buahan juga diolah menjadi jem atau pes makanan.

Dalam langkah mengelakkan pembaziran makanan, lebihan buah dan sayur itu turut diolah menjadi produk baharu seperti jem, pes masakan, sos atau item sejuk beku untuk dijual semula pada harga lebih rendah.

Semua barang yang dijual di Graze Market ditetapkan pada kadar 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran untuk sayur mahupun produk olahan semula.

Tidak hanya itu, bahan basah itu turut diolah menjadi menu makanan yang dijual di kafe Graze Eatery yang ditubuhkan pada tahun lalu sebagai cara untuk memanfaatkan sumber yang diterima.

Sepanjang mengendalikan Graze Market, Clara memberitahu, terdapat pelbagai cabaran ditempuh terutama dalam mendidik masyarakat tentang bahan basah yang dijual olehnya.

“Ada yang berpendapat sumber reject ini adalah sayuran yang busuk tetapi sebenarnya ia hanya cacat sedikit dan masih segar kerana merupakan hasil tanaman yang baru dipetik oleh petani.

“Namun begitu, ramai yang terbuka untuk mencuba dan mereka juga mengakui sayuran dan buahan seumpama ini tidak ada beza dari segi kesegaran, malah ada yang lebih baik dari di pasar raya,” jelasnya yang menjual lebih 100 item di Graze Market.

Katanya lagi, dari segi penjualan pula, cabaran yang ditempuhi adalah bahan jualan yang berbeza-beza mengikut stok tersedia oleh petani.

Jelasnya, sebahagian item yang dijual di kedai akan berbeza mengikut musim, oleh itu dia perlu sentiasa merangka promosi atau pelan untuk memastikan setiap bahan diterima dijual atau diolah untuk menjadi produk baharu.

Bagi lebihan yang tidak terjual dan tidak boleh diolah, pihaknya akan menyerahkannya kepada rakan kongsi yang menghasilkan baja kompos daripada sisa makanan.

Clara menjelaskan, ia bukanlah satu gerakan yang berskala besar tetapi dengan kesedaran yang mula terbit dalam kalangan pengguna dia berjaya merealisasikan misi untuk membantu mengurangkan sisa makanan.

Hingga hari ini dia sudah berjaya menyelamatkan lebih 200 tan sumber sayur dan buah-buahan reject daripada dibuang sejak Graze Market beroperasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN