fbpx

Bekas penolong setiausaha kementerian didakwa terima suapan RM2,300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM2,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pembinaan, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd. Hafiz Ahmad, 41, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafiz selaku penjawat awam di Kementerian Pengangkutan, didakwa menerima wang berjumlah RM2,300 daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang diketahui mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Tertuduh yang kini bertugas di bahagian sumber manusia di Kementerian Pendidikan didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh, di sini masing-masing pada 20 Februari, 15 April dan 21 Mei 2020.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Zahariman turut mencadangkan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 selain membantah cadangan pihak pendakwaan berhubung syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI