fbpx

Uniform songket serlah identiti negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONA biru pekat dipilih sejajar dengan warna jenama MAG.

KAIN songket merupakan identiti Malaysia.

Menurut sejarah, ia hanya dipakai oleh golongan bangsawan iaitu keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri.

Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket pada zaman dahulu melambangkan kedudukan seseorang yang tinggi.

Pemakaian songket pada hari ini juga sudah tidak lagi terhad kepada kerabat diraja.

Malah, songket moden semakin kontemporari dan sesuai dengan peredaran semasa.

Busana kebaya dengan motif songket sejak sekian lama sudah menjadi uniform rasmi petugas syarikat penerbangan nasional iaitu Malaysia Airlines Berhad.

Malaysia Aviation Group (MAG) baru-baru ini telah melakar sejarah apabila memperkenal uniform baharu untuk kakitangan darat anak syarikatnya, AeroDarat Services (ADS).

Majlis memperkenalkan uniform baharu itu berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1).

Uniform baharu itu menampilkan sut tiga helai yang terdiri daripada blazer, baju berlengan panjang pada bahagian dalam dan seluar atau skirt.

Ia juga diperbuat daripada fabrik selesa serta mudah dijaga, sekali gus memudahkan pergerakan setiap petugas barisan hadapan.

Selain itu, blazer ringan yang menjadi lapisan luar uniform juga boleh dibuka, sesuai dengan tugas operasi.

Namun, ia tetap mengekalkan penampilan yang profesional.

Rona biru pekat yang dipilih juga sejajar dengan warna jenama MAG, manakala blazer dengan motif songket tidak begitu menonjol menjadi signatur kepada uniform baharu itu.

Ketua Pengarah Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, uniform baharu itu melambangkan komitmen MAG terhadap profesionalisme dan kesamaan, selain menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia.

UNIFORM baharu MAG menampilkan elemen songket pada blazer.

“Kami menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia menerusi motif songket pada rekaan baharu ini.

“Ia juga sebagai meraikan bakat dalaman kami memandangkan uniform ini direka oleh mereka yang berminda kreatif dalam MAG. Mereka menterjemahkan kreativiti dalam merangkum perpaduan yang akan memacu organisasi ini ke depan,” katanya.

Majlis perasmian uniform baharu itu disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Selain itu, jenama tudung tempatan yang merupakan rakan kerjasama MAG iaitu TudungPeople teruja apabila diberi peluang menghasilkan tudung baharu buat petugas barisan hadapan MAG.

Pengarah Urusan TudungPeople, Fazrena Aziz berkata, kerjasama tersebut cukup istimewa dan dia mengakui amat menyukai hasil akhir tudung yang direka oleh petugas MAG itu.

“Jika dilihat, staf darat ini sebenarnya banyak melakukan pergerakan dalam tugas seharian mereka. Oleh itu, pemilihan tudung yang selesa amat penting.

“Tudung ini adalah jenis semi-instant diperbuat daripada material sifon crepe yang tidak jarang, namun cukup ringan serta mudah dibentuk.

“Lilitannya juga kemas dan sentiasa nampak terletak, manakala tahap kelabuhannya cukup sesuai untuk digayakan bersama uniform baharu ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI