fbpx

Agong berkenan terima menghadap Anwar bagi mesyuarat Pra-Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Anwar untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara petang tadi.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara petang tadi.

Istana Negara menerusi hantaran di Facebook berkata, sesi mesyuarat Pra-Kabinet itu juga cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya buat Seri Paduka Baginda, kerana ianya merupakan kali yang terakhir sebelum tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada tamat 30 Januari ini.

Katanya, sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri Malaysia.

Mesyuarat Pra-Kabinet yang pertama adalah pada 13 Februari 2019.

Turut hadir pada sesi hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebooknya turut memuat naik beberapa keping gambar memaparkan sembah maklum Seri Paduka Baginda mengenai urusan kertas-kertas kabinet esok.

Anwar juga tidak melepaskan peluang menitipkan doa agar Seri Paduka Baginda dan seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah.

“Mendoakan semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta terus diberi keafiatan, kesejahteraan dan penuh kedaulatan. Dirgahayu Tuanku!,” tulisnya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda bertitah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pula dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI