fbpx

1MDB: Malaysia ada peluang kukuh lawan Goldman Sachs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari pada sidang akhbar Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2023 di Bangi, hari ini.

BANGI – Malaysia mempunyai peluang yang kukuh dan saksama bagi melawan pertikaian Goldman Sachs yang tidak mahu memenuhi jaminan pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai AS$1.4 bilion mengikut yang dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian dimeterai pada Ogos 2020.

Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata berdasarkan perjanjian yang dimeterai itu, kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs menuntut Goldman Sachs membayar AS$2.5 billion secara tunai dan jaminan pemulihan aset AS$1.4 bilion.

Menurutnya, bagaimanapun kini Goldman Sachs hanya membayar AS$2.5 bilion, tetapi mereka tidak mahu memenuhi jaminan pemulihan aset AS$1.4 bilion

Beliau berkata, ia berikutan Goldman Sachs menganggap kerajaan Malaysia telah mendapat balik menerusi denda yang dikenakan ke atas AmBank (RM2.8 bilion) serta perjanjian penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) (AS$1.8 bilion).

Namun katanya, kerajaan mempertikaikan perkara tersebut serta menegaskan bahawa denda yang dikenakan ke atas Ambank serta penyelesaian dengan IPIC tidak termasuk dalam skop jaminan pemulihan aset yang bernilai US$1.4 bilion.

“Mengikut aku janji ialah dia (Goldman Sachs) akan bayar AS$2.5 bilion dan kemudian jaminan AS$1.4 bilion. Tapi dia (Goldman Sachs) bayar AS$2.5 bilion, tapi bila babitkan AS1.4 bilion, Goldman Sachs tidak mahu memenuhi kewajipan mereka di bawah jaminan pemulihan aset tersebut.

“Sebab mereka kata Malaysia telah dapat pemulihan daripada dana dan penyelesaian lain yang kita buat, tetapi itu bukan pemulihan bagi Malaysia. Justeru, kami fikir kita mempunyai peluang adil dan kukuh untuk melawan abritasi ini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Pasukan Petugas 1MDB mempertimbangkan prosiding undang-undang terhadap beberapa bank asing yang memudahkan pemindahan dana berkaitan 1MDB tanpa melaksanakan proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) dengan sewajarnya pada masa itu.

Johari dalam kenyataannya pagi tadi memetik, pasukan petugas khas itu amat komited untuk menangani perkara 1MDB dengan telus dan memastikan semua pihak bertanggungjawab.

Beliau dilaporkan berkata, kerumitan untuk perjanjian penyelesaian ini memerlukan semakan yang berhati-hati, dan Pasukan Petugas 1MDB dengan aktif terbabit dalam proses timbang tara bagi memastikan penyelesaian adil bagi kepentingan terbaik rakyat Malaysia.

Katanya, Pasukan Petugas 1MDB mengadakan satu mesyuarat semalam bagi membincangkan perkembangan terkini/status pemulangan aset 1MDB dan perkara-perkara lain berkaitan dengan pertikaian bersama Goldman Sachs. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI