fbpx

Pengarah syarikat ditahan, sogok ramai penjawat awam demi monopoli projek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MELAKA – Seorang pengarah syarikat pembekalan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki memberi rasuah kepada penjawat awam negeri ini bagi pelaksanaan kerja-kerja perolehan.

Suspek berusia awal 60-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di Pejabat SPRM Melaka, Alai di sini bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, penahanan dibuat ekoran suspek dipercayai telah merasuah penjawat-penjawat awam di pelbagai jabatan kerajaan negeri dengan membayar antara belasan hingga puluhan ribu ringgit bagi memastikan kerja pembekalan di jabatan-jabatan berkenaan diperolehi.

Kes itu melibatkan perolehan keseluruhan berjumlah RM639,104.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam untuk memberi kerjasama.

“Rantaian kartel rasuah sebegini perlu dinoktahkan bagi mengelak kerja-kerja monopoli projek pembekalan di jabatan-jabatan kerajaan terus berlaku.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohd. Shahril, suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan kebenaran reman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI