PETALING JAYA – Seorang pemuda dari Kuala Selangor tidak menyangka dapat bertemu semula dengan bapa kandungnya yang berasal dari Indonesia selepas mereka terpisah sejak 24 tahun lalu.
Pertemuan menyayat hati antara Muhammad Sadam, 27, dan bapanya, 55, berlangsung di Tanjung Tiram, Batu Bara di wilayah Sumatera Utara baru-baru ini.
Kali terakhir Muhammad Sadam melihat Ruslan ialah ketika dia berusia tiga tahun sebelum bapa kandungnya itu kembali ke Indonesia selepas berpisah dengan ibunya.
Sejak itu, Muhammad Sadam menetap dan membesar bersama ibu dan seorang abangnya di Kuala Selangor tanpa pernah mendengar khabar berita mengenai bapa kandungnya lagi.
Menurut seorang sepupu yang tinggal di Indonesia dikenali Rahmayani Sulaiman, 33, dia tekad menjejaki semula Muhammad Sadam menerusi bantuan suaminya yang merupakan rakyat Malaysia.
“Kali terakhir saya berhubung dengan keluarga sepupu di Kuala Selangor adalah ketika majlis perkahwinan abangnya. Selepas itu kami terputus hubungan.
“Saya minta bantuan suami yang ada di Malaysia untuk cari Muhammad Sadam semula. Alhamdulillah bila dapat nombor telefon, kami terus pujuk untuk Muhammad Sadam ziarah bapanya yang semakin uzur.
“Selepas dia bersetuju, bulan Disember lalu, kami terus bawa Muhammad Sadam buat pasport dan tempah tiket penerbangan untuk bertemu bapanya di Tanjung Tiram, Batu Bara, Indonesia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan pertemuan antara Muhammad Sadam dan bapanya sehingga meruntun hati pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di video berkenaan, Muhammad Sadam dan bapanya kelihatan janggal ketika bertemu buat pertama kali sebelum masing-masing berpelukan erat sambil mengalirkan air mata.
Tambah Rahmayani, pada mulanya Ruslan tidak mengetahui akan bertemu anaknya, namun berasa terkejut dan teruja setelah diberitahu oleh saudara-mara yang berada di Indonesia.
Jelasnya, suami dan sepupunya berada di Indonesia sejak Khamis lalu dan bertolak pulang ke Malaysia semalam.
“Semasa pertemuan, kalau tengok dalam video tular itu, memang suasana hiba dan sedih sangat-sangat. Maklumlah, sudah 24 tahun tidak jumpa.
“Muhammad Sadam pun seronok sebab dia tidak pernah jumpa bapa dia. Semua mak sausara di Indonesia teruja jumpa anak buahnya yang tak pernah tengok dari kecil.
“Hari ni nak balik pun rasa berat hati untuk tinggalkan bapanya. Sepanjang perjalanan pulang, Muhammad Sadam hanya baring di pangkuan bapa,” ujarnya.
@babybrown911Bila dah allah dah berkehendak,maka berjumpa juga♬ Betapa Hatiku (Cover) – Efrydo Sihotang















