fbpx

Juruteknik berlagak ‘along’ bakar rumah orang dipenjara 54 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hon Heng (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang juruteknik dipenjara 54 bulan selepas mengaku bersalah kerana cuba membakar rumah serta merosakkan harta benda orang lain dengan sengaja ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan selepas mendengar dan menimbang hujahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan serta pembelaan yang mewakili tertuduh iaitu Chow Hon Heng, 31.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah melakukan satu perbuatan khianat di hadapan sebuah rumah di Taman Duku, Juru, Bukit Mertajam dengan menyebabkan kebakaran serta kerosakan harta benda kepada pemilik rumah tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang pada 15 Oktober tahun lalu itu, tertuduh juga didakwa telah meninggalkan sekeping nota berbaur ugutan di hadapan rumah pengadu selain nombor telefon yang dipercayai digunakan di Singapura.

Menurut pengadu yang juga seorang perempuan, perbuatan khianat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pinjaman yang telah dibuat oleh suami pengadu di Singapura sebelum ini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Sementara itu, ketika prosiding, tertuduh dimaklumkan telah insaf dengan perbuatannya dan pihak pembelaan mahu hukuman penjara yang dikenakan terhadap lelaki tersebut berjalan serentak dengan hukuman sedia ada memandangkan dia kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan di bawah seksyen yang sama di Penjara Tapah, Perak.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan pula mahukan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kerana kejadian tersebut bukan sahaja telah menyebabkan pengadu atau mangsa mengalami kerugian, namun, ia boleh mendatangkan bahaya kerana rumah tersebut hampir dibakar oleh tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh pula diwakili oleh peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM).

Mohd. Harith kemudian memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama 48 bulan selain didenda sebanyak RM5,000 dan kegagalan membayar denda berkenaan menyebabkan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara tambahan selama enam bulan.

Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk tidak membayar denda terbabit sekali gus sedia menjalani hukuman penjara maksimum sehingga 54 bulan yang bermula dari dia ditangkap iaitu pada 29 November tahun lalu. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI