fbpx

1,197 calon simpanan dilantik pegawai perubatan, farmasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melantik seramai 1,197 calon simpanan meliputi sejumlah 857 calon pegawai perubatan dan 340 pegawai farmasi bagi mengisi jawatan tetap di kementerian berkenaan.

KKM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meluluskan permohonan untuk melantik sebanyak 1,197 jawatan tetap pada 29 September 2023 dan 3 Januari 2024.

“Pelantikan itu bertujuan mengisi baki kekosongan jawatan selepas selesai urusan 1,508 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi fasa pertama yang melapor diri pada 18 Disember 2023.

“Selaras dengan kelulusan SPA, semua calon simpanan yang menerima surat tawaran pelantikan tetap telah dimaklumkan
untuk melengkapkan urusan setuju terima pelantikan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA,” katanya hari ini.

KKM berkata, urusan itu berlangsung tempoh 21 hari bermula 29 Disember 2023 (calon pegawai perubatan) dan 3 Januari 2024 (calon pegawai farmasi).

“Sepertimana jaminan ketelusan dalam urusan penempatan lantikan tetap sebelum ini, penempatan kali ini dilaksanakan menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk calon pegawai perubatan dan sistem e-pharmacist untuk calon pegawai farmasi.

“Sehubungan itu, setiap calon telah dimaklumkan untuk membuat pemilihan penempatan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas dalam tempoh sistem dibuka dari 15 hingga 17 Januari 2024.

“Tawaran pelantikan tetap terbatal sekiranya calon tidak membuat pemilihan penempatan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, KKM turut menyediakan saluran untuk calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan menerusi ‘google form’ bermula 15 hingga 19 Januari 2024.

“Rayuan dikemukakan menerusi ‘google form’ dalam tempoh ditetapkan sahaja akan dibawa untuk pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan.

“Keputusan Jawatankuasa Rayuan Penempatan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 31 Januari 2024,” jelasnya.

Katanya, penempatan calon ke fasilliti akan dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 12 Februari 2024.

Tarikh pelantikan tetap calon adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 4 Mac 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI