BAGAI direntap nadi apabila kemunculan Tyzo dalam program Suria Petang di Suria FM dinoktahkan menerusi notis yang diserah seminggu sebelumnya sedangkan kontrak bersama stesen radio itu masih berbaki dua bulan lagi.
Sehari selepas sesi fotografi ini berlangsung, luka dihatinya bagai dihiris-hiris apabila pihak pengurusan tertinggi radio berkenaan akhirnya membuka mulut berkenaan isu penamatan kontraknya.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, 48, menyifatkan tindakan dikenakan terhadapnya umpama hukuman terhadap penjenayah.

“Sakit tapi saya tak tahu di mana tempatnya, berdarah tapi saya tak pasti di mana lukanya. Itu yang saya rasakan sedari awal pengumuman penamatan kemunculan saya di Suria Petang pada Jumaat minggu lalu.
“Perasaan saya bercampur-baur antara sedih, kesal dan rasa dianiaya kerana seperti dihukum walaupun apabila ditanya pihak di sana mengakui saya tiada masalah disiplin atau sebagainya.
“Perkara saya luahkan sebaik melangkah keluar dari konti tempoh hari adalah sesuatu yang terzahir dari lubuk hati tatkala berperang dengan emosi. Andai orang lain berdepan hal sama pasti mereka memahami.
“Jika kontrak tamat, itu sudah dimeterai awal dulu, tetapi saya tidak lagi diberi peluang muncul dapat program biarpun gaji masih jalan sehingga Mac,” katanya dalam satu pertemuan dengan Pose.
Jadi ikhtibar
Tetap tampil ceria walau jauh di relung hati bergelut pelbagai persoalan, Tyzo mengakui tidak membaca sebarang komen sejak isu penyingkirannya menjadi polemik.
Katanya, sebagai insan biasa dia perlu menjaga kesihatan mental daripada sebarang anasir sekali gus mengelakkan tekanan tambahan selepas kehilangan kerja.
“Saya mempunyai keluarga dan anak yang memerlukan perhatian, jadi perkara utama sekarang adalah untuk mencari rezeki.

“Mungkin ada berpendapat keluar masuk radio itu situasi normal bagi penyampai, tetapi kena ingat isu membabitkan saya ini berbeza dengan kontrak habis dan tidak disambung.
“Apa pun, saya dimaklumkan perkara ini telah membuka mata ramai serta teman seperjuangan lain untuk bersuara bagi mengelakkan individu lain pula berdepan isu sama selepas ini,” ujarnya.
Tiada penyesalan
Ditanya sama ada menyesali keterbukaan bersuara hingga isu ini mengundang maklum balas netizen, Tyzo berkata, apa yang dilakukan bukan untuk kepentingan diri sendiri.
“Tiada penyesalan, sekurang-kurangnya insiden menimpa saya dapat dijadikan iktibar kepada semua pihak berkaitan.
“Malah, ramai datang menghulurkan sokongan termasuk pengurusan RTM selain Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang peka dengan hal ini ketika kami tersempak secara kebetulan baru-baru ini,” ulasnya lagi.
Enggan memanaskan lagi keadaan, jauh di sudut hati Tyzo masih ingin mengendalikan program Suria Petang bersama Sharifah Shahirah atau mesra disapa Kak Rara.
Baginya, gandingan mereka cukup serasi bahkan dirasakan mampu diteruskan biarpun bukan berada di bawah saluran yang sama andai takdir masih memisahkan.
Bukan badi
Begitupun, ulas Tyzo yang pernah tampil bersama single Tak Lelah Bertahan, apa juga keputusan adalah atas pertimbangan pengurusan tertinggi Suria FM.
“Saya hanya minta naik gaji RM500 sahaja, namun pihak pengurusan menolak tapi saya tetap tandatangani kontrak pada Septermber lalu.

“Saya memang sayangkan Suria FM tapi mereka buat kesimpulan saya tak berminat hanya kerana saya tak maklumkan awal mengenai keputusan berkaitan kontrak kepada pihak pengurusan.
“Ramai kata ini badi menang anugerah, tapi saya tak rasa itu betul, sebaliknya semua ini adalah takdir untuk menguji kita dan pihak berkaitan,” tambah penyampai berpengalaman itu.
Mengulas mengenai petisyen terbuka dibuat netizen terhadap seorang individu, ujar anak jati Ipoh, Perak itu, semuanya adalah hak masyarakat terutama pendengar radio sendiri.
“Saya tiada hak menghalang orang ramai daripada menyuarakan pandangan masing-masing.
“Pendengar berhak membuat pilihan atau menyuarakan kemahuan,” tambahnya yang berterima kasih atas kata-kata semangat dizahirkan orang ramai.
Rezeki jadi hos, berlakon
Tyzo turut mendedahkan situasi kelam dilalui itu bagai satu panggilan untuknya keluar dan bertemu masyarakat.
“Saya akui selain pemalu saya seorang yang sangat ‘reserve’. Allah jentik saya supaya keluarkan potensi diri dan kini saya eksplorasi bakat dengan melebarkan lagi langkah sebagai hos.
“Saya bakal muncul dengan sebuah program khas untuk siaran televisyen selain tampil untuk promosi produk.
“Ada juga tawaran berlakon, cuma mungkin sebagai permulaan ini biarlah watak sampingan atau cameo saja.
“Walaupun pernah tampil dalam beberapa drama dan filem termasuk Alamak Toyol, saya kena gali ilmu lakonan dengan lebih mendalam,” ujar bapa kepada Noah Zachri, 9, menutup bicara.














