fbpx

Pemukiman Jemaah Menteri beri lebih masa bincang pentadbiran negara – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Permukiman Perdana Menteri bersama 31 barisan anggota Jemaah Menteri berlangsung selama dua hari bermula Rabu lalu di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.

PETALING JAYA – Program Permukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 memberi tempoh yang lebih lama kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi inisiatif-inisiatif jangka panjang pentadbiran negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri setiap minggu berlangsung dalam tempoh yang singkat.

“Ada yang tanya, tiap-tiap minggu Mesyuarat Jemaah Menteri, mengapa perlu ada pemukiman? Mesyuarat banyak membincangkan urusan pentadbiran negara dan tempohnya singkat.

“Kalau nak memperhalusi inisiatif-inisiatif jangka panjang, kita perlukan tempoh yang lebih lama dan khusus bagi membincangkan hasil dan implikasi setiap inisiatif yang dicadangkan.

“Insya-Allah, kami akan berusaha sebaik mungkin demi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Permukiman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 31 barisan anggota Jemaah Menteri berlangsung selama dua hari bermula Rabu lalu di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan, Jemaah Menteri bermukim dua hari di Cyberjaya bagi memperinci inisiatif baharu dalam pelbagai aspek untuk memacu hala tuju negara.

Menurut beliau, pemukiman itu juga bertujuan untuk mewujudkan kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan anggota Jemaah Menteri.

Tambah beliau, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan pelaksanaan yang menyeluruh untuk setiap inisiatif yang dilancar bagi memastikan rakyat benar-benar menerima manfaatnya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu hantaran di Facebook pula menjelaskan, pemukiman itu bertujuan untuk membincang dan memperincikan hala tuju negara sejajar dengan konsep Malaysia Madani dan gagasan Perdana Menteri.

Jelas beliau, pelbagai perkara lain turut dibentangkan dalam pemukiman dua hari tersebut dan Jemaah Menteri sebagai penggerak kepada aspirasi negara dapat duduk berbincang bersama serta mewujudkan satu manifestasi lebih jelas.

“Dalam program ini juga, Perdana Menteri seringkali mengingatkan apa juga inisiatif, tindakan mahupun keputusan yang hendak diambil perlu diberi keutamaan perihal kepentingan rakyat dan negara.

“Insya-Allah kami yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab ini akan berusaha untuk merealisasikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI