fbpx

Ambil tindakan ‘dalang’ fitnah KSN – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas dalang yang menyebarkan fitnah terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, tindakan tegas seharusnya diambil bagi membendung perkara seumpama itu terus berlaku pada masa hadapan.

“Jangan cuba untuk menggugat kepercayaan rakyat kepada anggota perkhidmatan awam dengan menyebarkan sentimen yang tidak tepat terutama dakwaan bersifat fitnah tanpa bukti.

“Justeru, Cuepacs berharap pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pelaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial satu dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan ke atas Mohd. Zuki.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menafikan dakwaan terbabit dan mengesahkan maklumat berkaitan perkara itu adalah palsu.

Dalam pada itu, kata Adnan, budaya menyebarkan fitnah perlu dihentikan kerana ia boleh mencalarkan imej perkhidmatan awam yang sentiasa neutral dan profesional dalam setiap tindakan.

“Cuepacs sentiasa menyokong usaha untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekiranya terbukti berlaku tetapi menolak budaya fitnah yang hanya merosakkan keharmonian negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI