fbpx

Qari Malaysia syukur terima hadiah banglo RM420,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nassuruddin (kanan) menandatangani plak penyerahan rumah banglo kepada Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Iman Eksklusif Tanah Merah di Tanah Merah hari ini. - Foto oleh ROHANA ISMAIL / KOSMO!

TANAH MERAH – Qari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 26, yang dinobat sebagai johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445 H / 2023 M melahirkan rasa syukur apabila menerima hadiah sebuah banglo empat bilik bernilai RM420,000 daripada kerajaan negeri di atas kejayaannya.

Muhammad Qayyim yang cacat penglihatan sejak lahir berkata, hadiah itu merupakan satu penghargaan buatnya kerana dihadiahkan sebuah rumah pada usia muda.

“Syukur atas rezeki yang diberikan. Rumah ini cukup luas, malah ia turut memiliki empat bilik tidur dan bilik air.

“Kediaman ini cukup selesa untuk saya dan keluarga. Ia akan dijadikan rumah kedua kami,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Rumah Banglo Kepada Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa 2023 di Wadi Iman Eksklusif Tanah Merah, di sini hari ini.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud kepada Muhammad Qayyim.

Ibu Muhammad Qayyim, Rozan Mohamed, 52, berkata, dia tidak menduga anaknya akan menerima rumah banglo dan cantik.

“Ini rumah Muhammad Qayyim Nizar yang merupakan anak sulung saya daripada enam beradik. Dia juga masih belajar di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri di Kota Bharu.

“Sekiranya anak saya dipertemukan jodoh suatu hari nanti, dia sudah ada rumah sendiri untuk diduduki,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nassuruddin berkata, kerajaan negeri pernah menyampaikan hadiah rumah banglo kepada tiga johan tilawah bagi 2012, 2016 dan 2018.

“Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri agar lebih ramai lagi qari dan qariah dari Kelantan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI