fbpx

Mahkamah: Sengaja lengah kes, pendakwaan bantah bicara Muhammad Sanusi ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

SELAYANG – Pihak pendakwaan dalam kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atas dua pertuduhan menghasut membantah permohonan pembelaan untuk prosiding perbicaraan itu ditangguhkan di Mahkamah Sesyen di sini.

Ia berikutan pihak pembelaan sebelum ini telah memfailkan satu notis usul untuk memindahkan dua pertuduhan tersebut dari Mahkamah Sesyen di sini untuk kes itu dibicarakan ke Mahkamah Tinggi selain perbicaraan kes itu ditangguh.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud berhujah pemfailan notis usul yang telah difailkan untuk memindahkan kes dan menangguhkan perbicaraan bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan dan ia bukan suatu alasan yang patut dipertimbangkan mahkamah.

Berhujah lanjut, pihak pendakwaan turut mengatakan kes yang dihadapi tertuduh merupakan kes berprofil tinggi yang mana ia sememangnya mendapat perhatian umum di seluruh negara dan memerlukan pendengarannya disegerakan.

“Apatah lagi, kes ini menyentuh Raja-Raja Melayu di Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan yang akan bermula 5 Februari ini sementara menunggu notis usul pindah kes itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Notis usul itu difailkan pada 11 Januari lalu dan salinan termeterai telah diserahkan kepada pendakwaan pada 15 Januari lalu.

“Sekiranya notis usul dibenarkan, (kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi) adalah pelik untuk memanggil semula saksi yang dipanggil (untuk beri keterangan di Mahkamah Tinggi).

“Permohonan ini dibuat selepas meneliti segala dokumen yang diberikan. Ia bukan sesuatu yang remeh, bersifat picisan atau dibuat atas alasan yang lemah tetapi ia menyentuh prinsip keadilan dalam permohonan jenayah,” ujar peguam itu.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini kehadiran Muhammad Sanusi dikecualikan.

Perbicaraan kes itu sepatutnya bermula hari ini (18 Januari), namun ditangguhkan selepas mahkamah membenarkan permohonan Muhammad Sanusi yang perlu keluar negara atas urusan rasmi.

Tarikh-tarikh lain perbicaraan ialah pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari 2024.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Hakim Nor Rajiah Mat Zain menetapkan 2 Februari ini untuk keputusan permohonan penangguhkan perbicaraan itu selain kehadiran tertuduh dikecualikan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Januari lalu, Muhammad Sanusi memohon untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Muhammad Sanusi selaku pemohon memfailkan permohonan untuk memindahkan kes antaranya atas alasan suatu perbicaraan yang berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah jenayah rendah daripada Mahkamah Tinggi.

Menerusi notis usul tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu berkata sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, ia akan memudahkan pihak-pihak merujuk kepada isu undang-undang yang rumit yang akan dikemukakan semasa perbicaraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI