fbpx

‘E-hailing’ haram dipandu warga asing tawar harga serendah RM5

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi pemandu tempatan dan warga asing yang menjadikan kenderaan persendirian sebagai e-hailing tidak berdaftar di hadapan pusat beli-belah, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mengoperasi perkhidmatan pengangkutan seakan ‘e-hailing’ secara tidak sah dengan menawarkan harga serendah RM5 bagi perjalanan sejauh 5 Kilometer pertama.

Demikian modus operandi sekumpulan pelajar warga asing dan warga tempatan dilihat rancak mengoperasi kereta sapu di sekitar kawasan Setapak dan Wangsa Maju, di sini.

Malah, rata-rata mereka tidak mempunyai lesen memandu dan menggunakan kereta persendirian yang disewa daripada orang lain untuk mencari wang sampingan menerusi perkhidmatan e-hailing tidak sah.

Difahamkan, kumpulan tersebut aktif menawarkan perkhidmatan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram selain menyasarkan penumpang di kawasan stesen bas, lapangan terbang dan kediaman penuntut kolej.

Bagaimanapun, taktik licik tersebut berjaya dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menerusi Operasi Pengarah (Kenderaan Perkhidmatan Awam) hari ini.

Operasi yang dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu menggunakan teknik penyamaran sebagai penumpang bagi membongkar kegiatan perkhidmatan tersebut.

Ketika operasi tersebut dijalankan, lebih 10 kenderaan ditahan dan diperiksa terdiri daripada kereta jenis Peugeot, Proton Saga, Toyota Avanza dan Honda City.

Kosmo! yang mengikuti operasi tersebut mendapati, majoriti pemandu yang terlibat merupakan warga asing terdiri daripada warga Bangladesh dan Indonesia selain warga tempatan sendiri.

Salah seorang pemandu berusia lingkungan 20-an ketika ditahan memberikan alasan bahawa penumpang yang dibawa merupakan rakan sekelasnya dan hanya membantu menghantarnya ke destinasi.

“Saya hanya bawa kawan, tak buat hantar dan ambil orang dengan bayaran,” katanya kepada pemberita selepas ditahan.

Sementara itu, seorang wanita berusia 25 tahun yang juga penumpang kereta sapu tersebut memaklumkan harga yang murah antara sebab perkhidmatan itu dipilih meskipun sedar terdedah dengan bahaya.

Jelas penuntut universiti awam itu, untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut penumpang perlu menghantarkan permintaan di dalam kumpulan di Telegram sebelum berhubung secara terus dengan pemandu yang berdekatan.

“Saya kalau nak pergi makan atau jalan-jalan di luar memang gunakanlah perkhidmatan ni, harga lagi murah dan tidak perlu tunggu lama untuk sampai ke destinasi.

“Ini memang salah, tapi perkhidmatannya lagi murah RM3-RM5 daripada aplikasi perkhidmatan sama sedia ada,” katanya.

Untuk rekod, kenderaan yang digunakan sebagai kereta sapu boleh disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dilucutkan hak di bawah Seksyen 80 (3) Akta Pengangkutan Darat. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI