fbpx

‘Abang askar rupanya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Koperal Mazlan sanggup menggadai nyawa terjun dari Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamat pasangan yang terjatuh ke laut.

GEORGE TOWN – Tanda tanya mengenai siapa empunya diri yang nekad terjun dari Jambatan Pulau Pinang bagi menyelamatkan satu pasangan yang terjatuh ke laut, malam tadi akhirnya terjawab apabila dia merupakan seorang anggota tentera.

Menurut kenyataan dari Facebook Tentera Darat Malaysia, Koperal Mazlan Abdul Rahman merupakan anggota dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RMAD).

“Koperal Mazlan telah menyelamatkan orang awam yang dikhuatiri lemas di Jambatan Pulau Pinang pada 15 Januari 2024.

“Semasa kejadian, anggota sedang melalui Jambatan Pulau Pinang dan bertindak pantas terjun sejurus dengar jeritan meminta tolong dari bawah jambatan.

“Koperal Mazlan juga telah memberikan bantuan pernafasan (Cardiopulmunory Resuscitation (CPR) kepada mangsa setelah merapat ke bot berhampiran.

“Tindakan pantas berkenaan telah berjaya menyelamatkan nyawa mangsa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut,” katanya hari ini.

Tulis kenyataan itu lagi, sikap berani dan pantas yang ditunjukkan Koperal Mazlan ini wajar dijadikan contoh oleh warga Tentera Darat Malaysia (TDM).

2 RMAD terletak di Kem Sunga Ara di Bayan Lepas dan difahamkan, Koperal Mazlan juga mempunyai lesen penyelamat kecemasan.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pengguna jalan raya sanggup menggadai nyawa selepas nekad terjun dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, dekat sini untuk menyelamat satu pasangan lelaki dan wanita yang terjatuh ke laut, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika orang awam terbabit dikatakan berada tidak jauh dari lokasi pasangan terbabit yang dikatakan sedang bertengkar sebelum dilihat terjatuh ke bawah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`; the status code is `404` and content-type is `text/html; charset=iso-8859-1`