KUALA TERENGGANU – Ada antara penjual jeruk mangga atau pelam potong di persimpangan lampu isyarat di bandar raya ini yang mahu menyambung pelajaran bagi mencari pekerjaan yang lebih baik dengan mengumpul duit hasil jualan buah itu.
Seorang penjaja yang mahu dikenali sebagai Azmi, 20, berkata, ketika ini pekerjaan itu adalah paling mudah dilakukan tanpa memerlukan kelulusan akademik selain masa bekerja fleksibel dan kadar komisen berpatutan.
Katanya, dia mula menjual jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat selepas selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira dua tahun lalu.
“Keputusan SPM kurang cemerlang. Kebetulan seorang kawan mengajak menjual jeruk mangga untuk cari duit poket.
“Sedar-sedar saya sudah masuk dua tahun (bekerja menjaja jeruk mangga),” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Azmi berkata, dia kebiasaannya bekerja bermula pukul 3 hingga 6.30 petang hampir setiap hari.
Dia yang menjaja di sekitar persimpangan lampu isyarat di Chendering dan Kuala Ibai, di sini memberitahu, sambutan terhadap jeruk mangga jualannya agak memberangsangkan.
“Kalau cuaca baik memang ramai pengguna jalan raya akan membeli jeruk mangga jualan saya.
“Pendapatan walaupun tidak lumayan, namun masih memuaskan. Lagi pun buat masa ini saya masih belum mempunyai tanggungan lagi,” ujarnya.
Azmi yang sedar pekerjaan penjual jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat mungkin tidak menjamin masa depan berazam untuk mengubah nasib dirinya tidak lama lagi.
Katanya, dia sedang menyimpan duit untuk menyertai kelas kemahiran yang lebih memberi jaminan masa depan.
“Saya berhasrat untuk belajar membaiki kenderaan agar dapat menjadi mekanik sebagai kerjaya tetap suatu masa nanti,” ujarnya.














