fbpx
RAZAK terkejut selepas melihat lembaga wanita tanpa kepala di depan pintu basnya. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Pemandu bas di Felda ditahan lembaga tanpa kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI sesetengah orang, kisah mistik atau seram yang didengari mereka mungkin dianggap sekadar sebuah cerita.

Malah, mereka yang langsung tidak mempercayai kisah-kisah tersebut akan menganggap ia sebagai cerita rekaan yang tiada kebenarannya.

Bagi Razak (bukan nama sebenar), dia juga kerap kali mendengar beberapa kisah mistik yang diceritakan oleh rakan-rakannya di beberapa lokasi sekitar kawasan Felda di Pahang.

Seperti kebanyakan orang, kesemua kisah tersebut sering dianggap sebagai tidak lebih daripada sekadar sebuah cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut.

Namun akhirnya, dia mengakui bahawa kisah yang didengarinya itu adalah benar apabila berhadapan dengan situasi cemas tersebut.

Membuka cerita, Razak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 20 tahun lalu ketika dia bekerja sebagai pemandu bas kilang selesai menghantar sekumpulan pekerja syif malam.

“Terdapat beberapa orang pemandu yang bekerja di syarikat bas berkenaan.

“Kami dibahagikan tugas untuk mengambil dan menghantar pekerja dari laluan penempatan Felda berbeza.

“Kebiasaannya, saya akan mengambil dan menghantar pekerja dari dua kawasan penempatan Felda pada setiap hari.

“Nak dijadikan cerita, seorang daripada rakan saya telah berhenti kerja. Disebabkan saya merupakan pemandu yang paling lama bertugas, maka saya ditugaskan untuk menggantikannya.

“Manakala tempat saya diganti oleh seorang pemandu baharu yang diterima bekerja di syarikat tersebut,” katanya.

Jelas Razak lagi, disebabkan dia sudah lama menetap di situ, maka laluan ke penempatan Felda di sekitar kawasan tersebut tidaklah begitu asing baginya.

Justeru, dia tidak berhadapan dengan kesukaran untuk memandu bas di laluan itu bagi mengambil dan menghantar pekerja seperti diarahkan oleh majikannya.

“Pada hari pertama bertugas di laluan baharu, rakan saya yang berhenti kerja itu ada memberitahu saya agar berhati-hati.

“Dia juga menasihati saya agar membawa teman sekiranya memandu ketika menghantar pekerja pada waktu malam.

“Pada awalnya, saya tidak mengendahkan saranan rakan saya itu, sebaliknya memandu seorang diri seperti biasa kerana merasakan tiada apa-apa yang akan berlaku.

“Sehinggalah pada minggu kedua, satu kejadian mistik mula menghantui saya apabila diganggu oleh satu lembaga seakan seorang wanita yang cuba menahan bas saya di tepi jalan berhampiran satu simpang,” katanya.

Cerita Razak lagi, dia yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya memberhentikan bas bagi memberi pertolongan dengan menganggap wanita tersebut mungkin ingin menumpang.

Sebaik pintu bas dibuka, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati wanita yang sudah berdiri di hadapan pintu bas itu tidak memiliki kepala, selain memakai pakaian dipenuhi darah.

Terkejut dengan apa yang disaksikannya, dia menutup semula pintu bas dan terus memecut kenderaan itu meninggalkan lokasi berkenaan.

“Keesokan harinya, saya menghubungi rakan sekerja yang sudah berhenti itu dan menceritakan tentang kejadian seram berkenaan.

“Menurut rakan saya itu, dia juga pernah mengalami kejadian sama beberapa kali sepanjang dia memandu bas di laluan terbabit, khususnya pada waktu malam.

“Patutlah dia beriya-iya menasihati saya agar membawa teman sekiranya memandu bas pada tengah malam. Rupanya, dia sudah dapat merasai mungkin saya akan berhadapan dengan situasi tersebut,” ujarnya.

Kata Razak, berdasarkan cerita orang Felda di situ, persimpangan tersebut merupakan lokasi satu kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita.

Dalam kemalangan itu, mangsa cedera parah termasuk putus kepala akibat digilis lori.

“Menurut cerita orang kampung, sering berlaku kejadian lembaga seakan wanita akan berdiri di situ dan menahan kenderaan,” katanya.

Sejak kejadian itu, dia pasti akan membawa seorang rakan sebagai teman sekiranya perlu menghantar pekerja kilang pada waktu malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN