Aishah menjaga sebahagian kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu bapa mereka ketika ditemui di Ampang baru-baru ini.

Tinggalkan anak untuk kahwin lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Segelintir duda dan janda yang mahu berkahwin lain selepas bercerai menjadikan rumah kebajikan dan pusat jagaan sebagai tempat untuk ‘membuang’ anak sendiri dan tidak lagi mempedulikan mereka selepas menemui kehidupan baharu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja kejam, malah mereka sebenarnya tidak layak bergelar ibu atau bapa yang tergamak meninggalkan zuriat sendiri demi mengejar kasih dan mengikut gelora nafsu.

Pengusaha Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi Selangor, Aishah Mohamad Razali, 36, berkata, dia menerima antara tiga hingga lima kes setahun mengenai tindakan ibu atau bapa yang menghantar anak-anak mereka kepadanya untuk ditinggalkan.

Katanya, antara alasan yang diberi termasuk pasangan baharu tidak suka sikap nakal anak kecil yang merimaskan.

“Saya yakin banyak kes seperti ini berlaku di rumah kebajikan lain dan lebih teruk ada yang meninggalkan anak di kawasan lain termasuk masjid apabila gagal mencari penjaga. Akhirnya mereka menjadi anak terbiar.

“Bagi saya mereka ini kejam dan tidak layak menjadi ibu bapa. Tergamak mereka membuang darah daging sendiri kerana mengejar cinta dan kehidupan lain bersama pasangan baharu,” katanya yang sudah 10 tahun mengendalikan pusat itu.

aisyah dan suaminya, Roslan melayan kerenah dua anak kecil yang ditinggalkan keluarga di pusat jagaan miliknya di Ampang baru-baru ini.

Menurut Aishah, golongan itu seakan lupa kerana perbuatan sedemikian mungkin akan berbalik semula kerana anak-anak pula akan ‘membuang’ mereka di rumah orang tua apabila tiba masanya kelak.

Tambahnya, ada kes seorang ibu tunggal menghantar anaknya ke situ atas alasan kononnya tidak mampu untuk membesarkan anak kerana dia golongan asnaf.

“Tahun pertama dan kedua dia masih datang untuk ambil dan tengok anak tetapi selepas itu, tidak tak muncul-muncul dan memberi pelbagai alasan untuk bawa balik anak ketika cuti selain menukar nombor telefon,” katanya.

Ujar Aishah, suaminya, Roslan Khabib, 39, kemudian dapat menjejaki wanita itu dan mendapati dia telah berkahwin lain.

“Geram saya dibuatnya. Kami kemudian terus bawa anaknya dan suruh dia jaga kerana ketika itu dia sudah mampu,” katanya.

Menurut Aishah, selain suami, dia mengendalikan pusat itu bersama abang ipar, Muhamad Khabid, 40, dan sedang menjaga 25 anak asnaf berusia antara enam hingga 19 tahun.

“Kami hanya mampu menjaga dengan jumlah tersebut kerana hanya berteduh di rumah teres dua tingkat dan bergerak dengan hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, ada juga kes seorang lelaki ingin menghantar anak kerana isteri baharunya rimas dengan kenakalan kanak-kanak malang itu.

“Dia sanggup bayar untuk kami jaga. Kami kesal dengan perbuatannya yang sanggup membuang anak demi kasih baharu,” katanya.

Ujar Aisyah, tujuan dia menubuhkan rumah kebajikan itu ialah untuk membantu anak-anak asnaf ketika ibu bapa mereka berjuang memperkukuhkan kewangan keluarga.

“Saya ingin tegaskan, di sini bukan tempat ‘buang’ anak. Ramai yang ambil kesempatan atas alasan mahu meneruskan hidup tanpa sebarang gangguan dan tanggungan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN