fbpx

Perak terima zakat perniagaan, pendapatan RM7.69 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin menerima zakat perniagaan dan pendapatan dari Syed Abu Hussin Hafiz di Ipoh hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjadi antara senarai pembayar zakat perniagaan dan pendapatan untuk diterima oleh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak.

Beliau merupakan satu daripada 10 pembayar zakat dalam senarai untuk menyerahkan zakat itu dalam majlis yang diadakan di sini hari ini, dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Sembilan lagi pembayar zakat perniagaan, pendapatan dan wakaf tunai ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Boustead Plantations Berhad, Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Plus Malaysia Berhad, UDA Holdings Bhd dan Zaman Motors Sdn Bhd.

Jumlah pembayaran itu melibatkan nilai sebanyak RM7.69 juta manakala wakaf sebanyak RM100,000. Syed Abu Hussin membayar zakat sebanyak RM2.958 juta.

Sultan Nazrin sebelum itu menyampaikan titahnya dalam program yang diadakan bernama Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak bagi penggal 2024-2025 dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak serta Majlis Penyerahan Zakat di sini hari ini.

Seramai 28 orang menerima watikah pelantikan anggota Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, manakala lapan orang menerima watikah pelantikan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak.

Sultan Perak berkenan melantik anggota majlis itu daripada pelbagai latar belakang supaya dapat memberikan input dan garis panduan meliputi pelbagai bidang.

Antaranya daripada Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Pertanian negeri, Jabatan Alam Sekitar negeri, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Yayasan Perak dan Majlis Belia Negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI