UMAT Islam ketika ini sedang melalui zaman enam penyakit rohani. Daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersadba: “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu.”
Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit yang menimpa umat terdahulu itu?” Rasulullah SAW menjawab: Penyakit yang dimaksudkan ialah terlalu banyak bersuka ria, terlalu mewah, mengumpul harta sebanyak mungkin, penipuan dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, dengki-mendengki sehingga menzalimi antara satu sama lain. (Hadis Riwayat Hakim)
Kebelakangan ini kira disajikan dengan spill the tea seorang wanita berhubung beberapa personaliti hiburan di tanah air kita. Menakutkan! Getus hati kecil penulis. Bertambah bersyukur apabila mengetahui hakikat dosa-dosa kita ini disembunyikan-Nya.
Secara jujurnya bukan sahaja dunia hiburan dilanda krisis akhlak, jika diperhati melalui apa yang dipaparkan di media sosial banyak contoh-contoh. Terpulang kepada kita sama ada untuk menjadikannya pedoman atau teladan.
Dalam mengejar ‘kebahagiaan’ acuan kita, tergamak kita menyekutukan-Nya. Bertentangan dengan ajaran Islam yang banyak mengambil berat soal akhlak serta adab. Apakah tiada langsung perasaan takut kepada Allah SWT? Bahkan tiada sedikitkah perasaan malu kalian di hadapan Allah SWT?
Sabda Rasulullah: “Akan muncul beberapa orang daripada umat ini di akhir zaman di pagi hari mereka berada di dalam kemurkaan Allah dan di petang hari mereka berada di dalam kemarahan Allah. (Hadis Riwayat Ahmad)
Janji Allah SWT adalah orang yang berbuat baik akan selalu tenang. Seperti sabda Nabi Muhammad SAW: Kebaikan ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu. (Hadis Riwayat Ahmad)
Itu dugaan yang dihadapi mereka. ‘Tercabut’ ketenangan. Penulis mendoakan agar mereka dapat menyelesaikan kemelut ini dalam cara yang paling harmoni. Semoga diangkat segala kesusahan, kesulitan dan kesedihan.
Netizen pun jangan sama naik ‘tembak’ komen tidak sepatutnya. Ini masa untuk kita bermuhasabah diri. Seperti penulis katakan tadi, aib kita ini masih tertutup.
Sebaik-baiknya kita pertingkat amalan, jauhi keburukan.Benarlah tanda-tanda akhir zaman sudah muncul di sekeliling kita. Sesungguhnya kita adalah orang yang banyak ‘tidur’ dalam negeri yang fana. Usia makin berkurang, keburukan juga semakin bertambah.
Dunia ini bukan tujuan utama penghidupan kita sebaliknya wasilah untuk pulang ke ‘tempat asal’. Malah, dalam usia makin meningkat ini penulis percaya ramai ingin hidup yang ideal iaitu ketenangan atau kebahagiaan hati.














