fbpx

Kes rasuah RM6 juta, tuduhan paling luar biasa di dunia – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) beramah mesra dengan tetamu dan veteran (KFA) ketika hadir merasmikan Wisma KFA di Alor Setar, November tahun lalu.

ALOR SETAR – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan tuduhan rasuah RM6 juta yang didakwa berlaku dalam persatuan itu paling luar biasa di dunia dan boleh dianggap sebagai luar tabii.

Kata beliau, kes itu disiasat kerana tidak memberi projek sedangkan kes rasuah biasanya disiasat melibatkan pemberian wang atau pemberian projek.

“Inilah plot yang dimaksudkan iaitu mengada-adakan hal yang tidak ada. Mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bertujuan merosakkan reputasi KFA, Presiden atau pegawai-pegawainya berhubung dakwaan rasuah berjumlah RM6 juta akan berhadapan tindakan undang-undang sesegera mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut berhubung dakwaan rasuah tersebut, beliau berkata, pada tahun 2020, sebuah syarikat menyatakan minat untuk memiliki saham Darulaman Football Club Sdn. Bhd. (DAFC).

Katanya, atas dasar keterbukaan, rundingan berhubung tawaran pemilikan saham telah berlangsung dan syarikat berkenaan bersetuju memberi pinjaman sebanyak RM5 juta sebagai komitmen bagi pembelian saham DAFC yang bernilai RM30 Juta.

“Sebanyak RM5 juta telah didepositkan ke akaun KFA pada tahun tersebut (2020),” jelasnya.

Bagaimanapun, menurutnya, rundingan seterusnya telah gagal mencapai kata sepakat setelah KFA mendapati syarikat itu bermasalah dan proses rundingan dihentikan serta-merta sebelum syarikat sama menuntut pembayaran sebahagian pinjaman berjumlah RM1.3 juta daripada RM5 juta berdasarkan kemampuan kewangan semasa KFA.

Katanya, dalam waktu sama, muncul sebuah konglomerat besar yang mendakwa RM5 juta itu adalah wang mereka yang diberikan kepada syarikat pertama bagi mendorong kelulusan mengadakan kerjasama untuk melaksana serta menyambung konsesi rawatan bekalan air atas nama syarikat lain.

“Tidak timbul sama sekali kes penyelewengan atau pecah amanah sejumlah wang bernilai RM6 juta kerana jumlah pinjaman itu adalah RM5 juta,” katanya.

Ujarnya, pihak yang melakukan penipuan adalah syarikat pertama dan yang tertipu dengan janji-janji projek adalah syarikat kedua, bukannya KFA.

“Syarikat pertama juga berharap diberikan projek membangunkan litar lumba, tetapi penilaian MBI selaku pemaju dan pemilik tanah terhadapnya menunjukkan syarikat itu langsung tidak mempunyai keupayaan. Kedua-dua syarikat itu tidak mendapat sebarang projek yang diharapkan walaupun telah memberi pinjaman kepada KFA.

“Memberi sebarang projek berkaitan kerajaan negeri kepada pemiutang atau penyumbang adalah di luar kemampuan dan bukan bidang kuasa KFA,” katanya.

Justeru, tambahnya, tiada penyalahgunaan, songlap, penyelewengan untuk kepentingan peribadi mana-mana pihak dalam KFA melainkan sepenuhnya dibelanjakan untuk persatuan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI