fbpx

Mindef, IIM sepakat wujud tadbir urus terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak (dua kiri) dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia, Datuk Nor Yahati Awang (kanan) sempena perutusan Tahun Baru 2024 di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan(Mindef) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membantu dan menyokong satu sama lain dalam mewujudkan tadbir urus yang baik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU itu juga merangkumi kerjasama melalui program-program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam juga sektor korporat di Malaysia.

Katanya, amalan tadbir urus terbaik adalah asas kepada kejayaan perancangan yang telah dirangka.

“Dalam hubungan ini kita tidak boleh berkompromi dengan kelemahan yang sering dikaitkan dengan tadbir urus.

“Kita hendak kes-kes penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pembaziran wang awam hendaklah dilaporkan segera supaya tindakan dapat diambil dan seterusnya mengenakan hukuman yang setimpal terhadap mereka yang terlibat,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru Menteri Pertahanan 2024 di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

Sementera itu, sebagai usaha sama dalam penglibatan sektor awam dan sektor korporat, pemeteraian MoU itu turut menjadikan kementerian sebagai ahli kepada Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).

“Satu lagi perkara yang saya ingin tekankan di kementerian ini ialah supaya kita sentiasa mendukung amalan tadbir urus yang terbaik.

“Jadi, pada hari ini Mindef akan melaksanakan program Sistem Integriti Korporat Malaysia CISM dalam merencanakan tadbir urus terbaik di kementerian dan juga di Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya.

Terdahulu, majlis itu juga telah menyaksikan pelancaran Imej Korporat baharu bagi Kementerian Pertahanan yang mencerminkan Mindef ke arah Pemodenan.

Reka bentuk tersebut melambangkan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai sepunya seperti Integriti, Cekap dan Profesional dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI