fbpx

‘Dropped calls’ setiap rangkaian mudah alih menurun hingga 74 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi pada sidang akhbar ujian kualiti perkhidmatan selular (panggilan suara) di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kadar panggilan terputus (dropped calls) untuk setiap rangkaian mudah alih menunjukkan penurunan sebanyak 10 hingga 74 peratus sejak 21 Disember lalu.

Penurunan tersebut hasil pertemuan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta penyedia rangkaian mudah alih dan Digital Nasional Berhad (DNB) pada 14 Disember lalu.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, susulan daripada pertemuan itu, satu bengkel dianjurkan sehingga 29 Disember di mana beberapa inisiatif dikenal pasti dan dipersetujui.

Ujarnya, di samping pihak pengendali rangkaian mudah alih 4G mengoptimumkan rangkaiannya, DNB juga mengaktifkan fungsi Call Reestablishment (CRE) untuk liputan LTE700 rangkaian 5G di kesemua tapak di seluruh negara.

“Kerajaan memandang serius isu panggilan terputus yang sering dibangkitkan pengguna dan mahu ia ditangani segera demi kepentingan rakyat.

“Hasil pengauditan menunjukkan sebanyak 1,837 panggilan terputus direkodkan, termasuk kes-kes yang berlaku di luar kawasan liputan antara 1 Januari tahun lalu sehingga 13 Disember lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ujian Kualiti Perkhidmatan (Panggilan Suara), di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Pada program ini, ujian dilakukan sepanjang perjalanan dari Parlimen ke Kementerian Komunikasi, Putrajaya bagi menguji kualiti liputan yang disediakan oleh kesemua penyedia rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL.

Sepanjang perjalanan dalam tempoh 45 minit itu, pegawai-pegawai MCMC yang terlatih menjalankan ujian dengan menggunakan peralatan khas penggujian Nemo Walker Air.

Ahmad Fahmi berkata, ujian hari ini mendapati kualiti panggilan suara adalah sangat baik dan tiada panggilan terputus direkodkan oleh kesemua penyedia perkhidmatan.

“Saya ingin menekankan di sini bahawa ujian yang dibuat ialah Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dan bukannya panggilan menggunakan Internet.

“MCMC akan terus memantau isu ini sepanjang suku pertama sehingga 31 Mac depan dan melaporkan semula kepada saya.

“MCMC juga memainkan peranan penting untuk bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih agar syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia sentiasa berusaha menambahbaik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI