fbpx

Menteri Pelancongan nafi hidang arak, khinzir di pejabat Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Pelancongan menafikan dakwaan yang dibuat terhadapnya di media sosial.

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menafikan dakwaan pejabatnya di Putrajaya menghidangkan minuman beralkohol dan daging khinzir.

Tegas beliau, Pejabat Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya tidak menghidangkan makanan dan minuman seperti itu.

King Sing turut menafikan dakwaan beliau mengarahkan kakitangan MOTAC beragama Islam mencuci pinggan yang digunakan untuk makan daging khinzir.

Justeru, beliau mencabar pihak yang membuat fitnah tersebut di media sosial supaya tampil dan bersemuka dengannya untuk mengemukakan bukti dakwaan berkenaan.

Beliau malah menegaskan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat dan menyebarkan dakwaan tersebut.

“Saya menggesa kepada mana-mana pihak supaya tidak berselindung di sebalik alam maya dengan menyebarkan fitnah serta khabar angin.

“Saya mencabar pihak tersebut supaya segera tampil dan bersemuka dengan saya serta membuktikan dakwaan dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

King Sing berkata, pihak yang membuat dakwaan itu bagi memburukkan namanya patut dilaknat kerana merosakkan keharmonian rakyat dan cuba mencetuskan ketegangan kaum.

Ujar beliau, dakwaan tersebut dibuat oleh pihak yang mengaku sebagai mantan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan pernah berkhidmat dengan empat Menteri Kesihatan iaitu tiga daripada parti MCA dan seorang daripada parti MIC.

“Saya tidak tahu siapa yang (sebenarnya) sebarkan khabar angin ini. Sejak saya memegang jawatan, saya akui saya mungkin ada menyinggung perasaan beberapa orang yang mempunyai kepentingan diri dalam perkhidmatan awam atau industri kerana tidak mahu melakukan reformasi dalam aspek tertentu.

“Tetapi saya tidak takut kerana yakin apa yang saya lakukan itu betul dan demi kepentingan negara serta rakyat walaupun terpaksa menyinggung perasaan orang lain.

“Jujur saya katakan, setakat ini di pejabat saya tidak mempunyai tukang cuci. Kebiasaannya pinggan mangkuk akan dicuci oleh mereka yang menggunakannya.

“Pinggan mangkuk yang digunakan oleh tetamu juga dibersihkan oleh kami. Jadi sekali lagi saya ingin bertanya kepada penuduh, adakah dia benar-benar tahu perkara yang dituduhnya,” katanya.

King Sing seterusnya menjelaskan, beliau malah pernah ditertawakan kerana makan makanan hampir sama setiap hari sama ada makanan dibawa sendiri atau makanan yang dijamu ketika menyambut tetamu seperti nasi lemak, nasi beriani atau KFC sahaja.

Jelasnya lagi, hanya apabila menerima tetamu asing seperti dari China baru beliau akan memesan makanan dari restoran Cina di hotel sekitar Putrajaya.

“Restoran Cina di hotel manakah yang menyajikan hidangan daging khinzir? Jika pengadu tahu hotel mana, sila bagitau dan syorkan kepada kami,” katanya sinis.

Bagi tuduhan menyimpan arak di pejabat pula, beliau menjelaskan, perkara itu hanya berlaku apabila pihaknya menerima hadiah tetamu dari luar negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan budaya.

Bagaimanapun, katanya, atas dasar menghormati dan beliau menerima hadiah tersebut, tetapi tidak bermakna ia menjadi hak peribadi beliau.

“Sebagai wakil penjawat awam, saya tidak menolak pemberian tersebut, tetapi dalam masa yang sama adalah tidak wajar untuk saya membawa hadiah itu pulang.

“Seboleh-bolehnya, kami cuba untuk menyerahkan pemberian ini kepada penerima lain seperti pegawai atau tetamu asing ketika majlis makan malam atau acara santai. Adakah semua ini salah?

“Saya harap kenyataan ini dapat menjernihkan keadaan dan menghentikan segala khabar angin yang nyata jika tidak dikawal bakal menjadi ‘barah’ kepada negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI