fbpx

Hamdan mohon peminat Senario maafkan jika ada salah – Yassin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yassin Senario. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – “Abang Hamdan sampaikan pesan kepada peminat Senario untuk maafkan dia jika ada salah silap,”.

Itu antara pesanan terakhir diberikan Allahyarham Hamdan Ramli, 55, kepada ahli kumpulan Senario lain sebelum dia ditidurkan akibat komplikasi buah pinggang di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, 31 Disember lalu.

Rakan kumpulan Senario, Yassin Yahya, 46, memberitahu, pemergian Allahyarham terlalu berat untuk diterima kumpulan itu kerana terlalu banyak kenangan sepanjang 27 tahun bersama.

“Kenangan tak boleh dilupakan terlalu banyak, pahit manis semua ada. Cuma buat masa ini yang saya tidak boleh lupakan adalah pada malam terakhir kami semua berkumpul dan makan bersama-sama di sebuah restoran di Bandar Baru Uda (BBU).

“Abang Hamdan tiada tunjuk apa-apa tanda tidak sihat, sebaliknya kami semua gembira kerana dapat berkumpul untuk buat ‘show’ dan beraksi pada malam tahun baharu.

“Tetapi benda dah tertulis, sebelum ditidurkan isterinya ada maklum kepada kami abang Hamdan mohon maaf kepada semua termasuk peminat dan ahli keluarga, dia dah mohon awal-awal jika ada salah silap dia, itu antara pesanan dia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA, di sini hari ini.

Tambah Yassin, dia memilih untuk terus berada di Johor Bahru selepas selesai persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di bandar raya ini pada malam tahun baharu, Ahad lalu.

“Saya dan beberapa rakan Senario memilih untuk tidak balik ke Kuala Lumpur bagi menunggu abang Hamdan dan memberi sokongan kepada keluarga mereka, mereka tiada sesiapa di sini, tak kan hendak biarkan sahaja.

“Lagipun saya tidak ada apa-apa rancangan di Kuala Lumpur ketika ini, jadi lebih baik tunggu di sini, tetapi tidak sangka seperti ini,” katanya lanjut.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Senario, Nizam Othman pula memberitahu, Hamdan merupakan seorang yang baik khususnya dalam menjaga solat dan hubungan sesama individu.

“Arwah selalu berpesan dan ingatkan kawan-kawan termasuk ahli Senario agar jangan lupa solat, sentiasa buat baik dengan sesiapa sahaja. Selain itu dia juga selalu berpesan untuk maafkan orang lain walaupun orang itu berbuat tidak baik kepada kita,” katanya yang telah menguruskan kumpulan itu sejak awal penubuhan Senario pada tahun 1996.

Terdahulu, Hamdan Ramli, 55, meninggal dunia di HSA di sini kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.

Terdahulu, pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA Johor Bahru akibat komplikasi buah pinggang.

Dia bersama rakan-rakan anggota kumpulan Senario yang lain berada di negeri ini untuk menjayakan Program Wonderful Night with Senariounion yang merupakan program berhibur sambil beramal bertujuan mengumpul sumbangan untuk membantu golongan artis veteran tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI