JOHOR BAHRU – Kesedaran betapa pentingnya menjaga alam sekitar mendorong 20 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang membersihkan Sungai Sengkuang yang kotor dengan sampah sarap.
Aktiviti membersihkan di sepanjang Sungai Sengkuang bermula awal pagi dianjurkan oleh Laman Eco Tebing Sungai Sengkuang sempena Kempen Kehijauan Malaysia anjuran Persatuan Alam Sekitar Eco Knight.
Pengerusinya, Subhi Saad berkata, program yang julung kali diadakan ini bagi memastikan persekitaran Sungai Sengkuang bersih dari kekotoran dan bau busuk.
“Kita sedia maklum Sungai Sengkuang antara sungai yang tercemar di Johor, justeru saya mengambil berat untuk membersihkan sungai ini bersama penduduk di sini.
“Siapa lagi yang akan bersihkan kalau bukan penduduk sendiri,” katanya.
Menurut Subhi, laman eco di Sungai Sengkuang menjadi kawasan tanaman pokok-pokok herba serta tanaman hiasan serta riadah.
Laman itu juga menjadi rujukan dan pendidikan untuk pelajar sekolah mempelajari teknik tanaman pelbagai jenis tumbuhan terutama herba.














