fbpx
Siti Ainon bersama anaknya Danial yang menghidapi penyakit talasemia ketika ditemui di Kampung Parit Keroma, Ayer Baloi, Pontian baru-baru ini.

Ibu runsing hati, limpa anak bengkak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Seorang ibu tunggal merayu bantuan orang ramai bagi menampung perbelanjaan rawatan penyakit anak bongsunya yang menghidap talasemia.

Siti Ainon Ariffin, 35, berkata, anaknya, Danial Raiyan Rizqi Hirwan Shah, 6, menghidap pe­nyakit berkenaan sejak bayi dan mula dimasukkan darah sejak dia berusia dua tahun.

Katanya, selain itu dia juga perlu menjaga dua anak perem­puan berusia 8 dan 15 tahun hasil perkahwinan awal yang masih bersekolah.

“Saya perlu menghantar Danial ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dengan menggunakan kereta milik abang. Dia juga memberi wang saku RM200, manakala ubat diambil percuma di klinik kerajaan.

“Pekerjaan sebagai pengusaha kantin sekolah kurang murid (SKM) sejak empat tahun lalu tidak menentu dan saya terpaksa menggagahkan diri untuk menghantar Danial ke HSA kerana hati dan limpanya telah membengkak 10 sentimeter,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Keroma, Ayer Baloi di sini baru-baru ini.

Menurut Siti Ainon, selain hati dan limpa, pipi anaknya juga membengkak hingga ia membuatkan dia runsing mengenai masa depan Danial.

Tambahnya, setakat ini Danial tidak dibedah kerana belum ada hati dan limpa yang sesuai de­ngan badannya.

“Saya berdoa agar Danial dapat hidup lebih lama dan sembuh seperti kanak-kanak lain yang aktif dan bermain kerana dia tidak boleh terdedah kepada cuaca panas,” katanya.

Ujar Siti Ainon, dia bersyukur kerana pentadbiran sekolah memahami masalah yang dihadapi anaknya selain sentiasa membantu semasa ketiadaannya di kantin ketika membawa Danial mendapatkan rawatan.

“SKM hanya ada 84 murid di mana 28 menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan. Saya perlu sediakan modal RM150 setiap hari,” katanya.

Menurut Siti Ainon, dia langsung tiada pendapatan jika cuti sekolah dan hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500.

“Saya sedang memohon bantuan Baitulmal kerana pendapatan RM800 tidak mencukupi,” katanya.

Orang ramai boleh menya­lurkan sumbangan ke akan Bank Islam milik Siti Ainon di 011080202438 atau menghubunginya di talian 016-708 5738.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN