fbpx

Banjir: Mangsa di Johor meningkat kepada 1,024, 13 PPS dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba melakukan pemantauan di kawasan penempatan penduduk di Ulu Tiram, Johor Bahru yang dilanda banjir hari ini.

JOHOR BAHRU – Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 1,024 penduduk telah ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka setakat pukul 8 malam ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, kesemua mangsa banjir itu terdiri daripada 252 buah keluarga di Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang dan Mersing.

“Johor Bahru antara daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 404 mangsa dipindahkan ke empat buah PPS, diikuti Kota Tinggi dengan seramai 348 mangsa di enam buah PPS.

“Manakala Mersing menyaksikan seramai 212 mangsa ditempatkan di dua buah PPS dan 60 mangsa di sebuah PPS yang telah dibuka setakat pukul 8 malam ini.

“Kesemua mangsa banjir mula dipindahkan ke PPS setelah kediaman masing-masing dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan sejak lewat malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, kejadian banjir di negeri ini tidak merekodkan sebarang kecederaan atau kematian melibatkan mangsa.

“Dua laluan ditutup sepenuhnya untuk kenderaan iaitu Jalan Kampung Orang Asli Peta dan Jalan Masuk Tenggaroh Timur – Tanjung Leman, kedua-dua di Mersing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI