fbpx

Jabatan penjara negara lain mahu pelajari seni tekstil Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Raja Permaisuri Agong melihat hasil seni tekstil yang dipamerkan di Majlis Malam Simfoni Kasih 2023 anjuran Jabatan Penjara Malaysia di Putrajaya, semalam.

PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana menghidupkan kembali Tenun Pahang Diraja yang dianggap ‘kritikal’ suatu masa dahulu.

Istana Negara dalam satu hantaran di media sosial berkata, Raja Permaisuri Agong bertitah, petugas dan penghuni penjara banyak menyumbang kepada penghasilan seni tekstil itu sehingga terkenal di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda yang juga Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia bertitah, keindahan tenunan warga penjara turut menarik perhatian pelbagai individu.

“Termasuk ketika ia dipamerkan sempena Minggu Kraf London pada Mei lepas sehingga terdapat permintaan daripada Jabatan Penjara Singapura, Filipina dan Jepun untuk berkongsi ilmu seni tekstil Malaysia,” kata Istana Negara hari ini.

Terdahulu, Istana Negara memaklumkan, Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Malam Simfoni Kasih 2023 anjuran Jabatan Penjara Malaysia di sebuah hotel di Putrajaya, semalam.

Turut berangkat anakanda Seri Paduka Baginda iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Majlis Simfoni Kasih 2023 yang bertemakan ‘Menggapai Dunia Bersama Raja Permaisuri Agong’ itu dihadiri lebih 800 tetamu dan diadakan dengan kerjasama strategik Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Koreksional Malaysia, Yayasan Prihatin Nasional, Persatuan Isteri, Anak dan Anggota Serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (Persiap).

“Pada majlis tersebut Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan dua anugerah iaitu Ikon Anugerah Dedikasi (petugas penjara) kepada Sarjan Mejar Raja Mohamad Raja Adam dan Ikon Anugerah Kasih (penghuni penjara) kepada Mohd Rosli Zulkifli yang diwakili Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hassan Hussain,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI