RIAK wajah Nurin Batrisyia Junidak terkejut apabila ahli keluarganya hadir ke majlis konvokesyen universiti dengan membawa kotak hantaran perkahwinan.
Momen tersebut telah tular di media sosial sejak awal bulan lalu.
Mana tidaknya, pada majlis berkenaan, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor itu menerima lapan kotak hantaran berwarna hitam yang dibalut kemas menggunakan riben emas bersama satu jambangan bunga.
Orang ramai seperti kebingungan apabila melihat kelibat keluarga yang hadir bersama kotak hantaran itu.
Rata-rata mereka menyangka ada rombongan meminang buat gadis yang mesra disapa Nurin itu sejurus selepas memperoleh segulung ijazah.
Hakikatnya, tindakan memberi kotak hantaran pada majlis konvokesyen adalah idea ‘gila’ daripada sepupu Nurin iaitu Anis Shahira Zainun, 24.
Ia sebagai meraikan kejayaan Nurin yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian daripada UKM.
Malah, idea tersebut cukup unik dan berbeza serta tidak pernah dilihat di mana-mana majlis graduasi lain.
Anis Shahira memaklumkan, idea untuk memberi hantaran sebagai hadiah konvokesyen buat Nurin datang daripada dia sepenuhnya dan disokong oleh ahli keluarga lain.
Katanya, bagi konvokesyen sepupunya itu, dia mahu membuat satu kelainan dan lari daripada hadiah biasa seperti jambangan bunga.
“Semasa majlis konvokesyen saya baru-baru ini, saya menerima banyak jambangan bunga daripada keluarga dan rakan-rakan.
“Jambangan bunga merupakan sesuatu yang tidak bertahan lama dan penyudahnya ia akan menjadi layu serta kering.
“Oleh sebab itu, saya terfikir idea menarik dan lain daripada lain iaitu memberikan hadiah berbentuk hantaran perkahwinan Melayu kepada Nurin,” katanya kepada K2.

Disebabkan itu, Anis Shahira mendapat idea untuk mengisi kotak-kotak hantaran tersebut dengan barang-barang yang boleh digunakan oleh Nurin.
Antaranya termasuk ubat resdung, makanan seperti udang, king crab, telur dadar dan sehelai tudung.
Dalam salah satu kotak, Anis Shahira meletakkan kunci bilik di dalam inap desa yang dihuni mereka sekeluarga sebagai kejutan buat Nurin.
“Semua barang diletakkan dalam kotak hantaran itu adalah barangan yang sesuai dengan Nurin.
“Sebagai contoh, ubat resdung adalah kerana Nurin menghidap penyakit berkenaan dan kerap bersin pada waktu pagi. Saya tahu dia amat memerlukan ubat tersebut.
“Bagi makanan seperti udang dan king crab pula, ia merupakan makanan kegemaran Nurin.
“Telur dadar yang digoreng oleh salah seorang ahli keluarga kami pula adalah kerana itu merupakan makanan paling digemari Nurin dan menu wajib buatnya.
“Makanan Nurin ibarat tidak lengkap jika tiada telur dadar,” katanya.
Anis Shahira yang mempunyai bakat menghias dilihat berjaya mengubah kotak-kotak tersebut menyerupai hantaran perkahwinan sebenar.
Gadis yang bekerja di restoran itu berkata, buat masa ini, dia tidak mengambil sebarang tempahan dan hanya melakukannya buat keluarga dan saudara-mara terdekat.
“Ada juga yang bertanya sama ada saya mengambil tempahan. Buat masa ini, saya tidak mengambil tempahan memandangkan hantaran itu hanya dibuat sekadar suka-suka sebagai kejutan,” jelasnya.
Sementara itu, Nurin memaklumkan, dia terharu dengan usaha dan kreativiti yang ditunjukkan oleh ahli keluargabagi meraikan majlis konvokesyennya.
Malah, dia memberitahu, daripada lapan kotak hantaran itu, hadiah paling bermakna buatnya adalah kotak berisi telur dadar.
“Hantaran paling saya gemari adalah telur dadar kerana saya memang suka makanan tersebut.
“Sekiranya tiada telur dadar, saya rasa makanan bagaikan tidak lengkap,” katanya.
Nurin juga menzahirkan rasa lega kerana keluarganya tidak datang bersama bunga manggar.
“Saya lega tiada bunga manggar sekali kerana akan nampak terlalu berlebihan pula,” katanya.
Dalam pada itu, Anis Shahira berkata, dia sama sekali tidak menyangka idea peliknya itu akan tular dan merekodkan jumlah tontonan sebanyak 1.6 juta di aplikasi TikTok.
“Sebenarnya, keluarga sebelah ayah dan keluarga sebelah ibu saya sememangnya cukup rapat.
“Kami selalu melakukan aktiviti keluarga bersama-sama seperti bercuti dan keluar makan.
“Oleh itu, sebaik sahaja mendapat tahu majlis konvokesyen Nurin bakal berlangsung, maka kami yang terdiri daripada empat buah keluarga seramai kira-kira 20 orang hadir bersama.
“Kami datang dari tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur bagi meraikan hari istimewa Nurin.
“Saya tak sangka, video yang saya muat naik itu tular dan ramai mahu meniru hantaran konvokesyen ini,” jelasnya.
Anis Shahira berkata, beberapa orang sudah mula mengambil idea menariknya itu untuk majlis konvokesyen keluarga masing-masing.
“Bagi saya, tiada istilah meniru dan sebagainya. Malah, saya gembira apabila ramai yang berminat untuk menjadikan hadiah konvokesyen dalam bentuk hantaran,” katanya.
Tambah Shahira, dia berharap agar keakraban keluarganya itu akan berterusan sampai bila-bila kerana sedar sukar untuk terus bersama-sama dalam semua aktiviti.
“Syukur ahli keluarga kami semuanya sporting dan akan bersama-sama dalam apa jua acara.
“Memandangkan sepupu lain masih kecil, jadi tiada majlis konvokesyen dalam kalangan keluarga kami dalam masa terdekat.
“Saya harap idea gila ini menjadi memori indah buat kami,” katanya.














