fbpx

Bot pukat tunda, dua nelayan Myanmar ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua nelayan warga Myanmar yang ditahan oleh APMM di Pulau Sangga Besar di perairan Kerian dan Larut Matang kelmarin. - Foto IHSAN APMM

PARIT BUNTAR – Sebuah bot pukat tunda tempatan bersama dua nelayan warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 9.7 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau di sini petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, bot itu ditahan oleh pasukan bot ronda APMM yang sedang melakukan operasi di perairan Kerian dan Larut Matang.

“Bot itu dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan dan ia dirapati untuk pemeriksaan. Seramai dua nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur 46 dan 47 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah ditemui.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan tiada kebenaran untuk menggajikan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM.

Mohd. Najhan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya, ia juga disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.

“APMM menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

“Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh laporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI