fbpx

Bekas pemain Kedah tidak boleh berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asmanida menguruskan suaminya, Abdul Rahman yang lumpuh ketika ditemui di Pekan Langgar, Alor Setar semalam. – SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Bekas pe­nyerang pasukan bola sepak Kedah era 90-an, Abdul Rahman Tasu kini tidak lagi mampu berjalan selain kesihatannya semakin merosot selepas diserang angin ahmar buat kali keempat pada 16 September lalu.

Abdul Rahman, 60, yang hanya berkerusi roda terpaksa bergantung sepenuhnya kepada isteri, Asmanida Ismail, 45.

Dia antara pemain yang berada dalam pasukan Kedah ketika mereka kali pertama menjulang Piala Malaysia menewaskan Singapura pada 1990, selain membantu skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Kedah memenangi edisi pertama kejohanan itu pada 1986.

Menurut Asmanida, mereka kini bergantung sepenuhnya kepada pencen ilat diterima Abdul Rahman kira-kira RM1,500 sebulan selepas berhenti kerja sebagai kerani di Wisma Darul Aman akibat serangan angin ahmar pertama kira-kira lapan tahun lalu.

“Wang itu digunakan untuk keperluan harian suami terutama lampin pakai buang, bil utiliti, makan minum kami berdua dan sewa rumah RM250 sebulan.

“Kadangkala saya bawa suami berubat secara alternatif yang turut memerlukan belanja tambahan dan kos ulang-alik untuk melakukan pemeriksaan di hospital atau klinik,” katanya kepada pemberita di Pekan Langgar, di sini semalam.

Katanya, selain tidak mampu berjalan, Abdul Rahman tidak lagi boleh berkomunikasi ketika ini walaupun memahami apa yang dipertutur orang lain serta masih mengingati kisah lalu.

“Jika mahu berkomunikasi, dia akan mengangguk kepala atau menggunakan isyarat tangan sekiranya hendak membalas soalan yang ditanyakan kepadanya. Kali ini saya juga terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak kerana perlu mengurusnya.

“Saya angkatnya ke bilik air, pakaikan lampin dan suapkan makan dan minumnya. Semua urusan memang saya perlu lakukan sendiri kerana kami tinggal berdua kerana tidak dikurniakan cahaya mata,” ujar­nya.

Tambahnya, keadaan kesihatan Abdul Rahman semakin merosot dan hilang selera makan apabila hanya mahu menjamah makanan iaitu bubur nasi kosong sejak dua hari lepas.

Asmanida berkata, suami­nya juga akan sedih dan menangis apabila diajak bersembang mengenai bola sepak dan rakan sepasukannya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditanya sama ada masih ingat dengan rakan-rakan seperjuangannya antaranya Muhamad Radhi Mat Din, dia hanya mengangguk dan menitiskan air mata.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Rakyat milik Abdul Rahman iaitu 2212992000 atau menghubungi Asmanida di talian 016-281 6689.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI