fbpx

Tanah runtuh Puchong: KKR belum terima permohonan dari PBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan Pusat Bandar Puchong yang berlaku kira-kira pukul 7.26 malam tadi. Foto oleh FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) belum menerima apa-apa permohonan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan Pusat Bandar Puchong yang berlaku malam tadi.

Bagaimanapun, menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta berkata, pihaknya bersedia untuk membantu dalam kapasiti yang bersesuaian.

“Saya telah mendapatkan maklumat awal dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan dimaklumkan insiden ini di dalam pengetahuan JKR Selangor.

“Walau bagaimanapun, saya juga dimaklumkan kawasan ini berada di dalam kawasan pentabdiran Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ),” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tambah Alexander, pasukan MBSJ juga sedang melaksanakan tindakan yang sewajarnya bagi menguruskan kejadian ini.

Terdahulu, pemilik tujuh buah rumah teres di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Puchong dekat sini terpaksa mengosongkan kediaman mereka selepas berlakunya kejadian tanah runtuh malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.26 malam itu, kesemua pemilik diarah berbuat demikian selepas runtuhan tanah itu berlaku berhampiran kediaman mereka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian tanah runtuh itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 50 meter.

Jelasnya, akibat kejadian itu juga sebuah kereta jenis Honda yang diletakkan di hadapan rumah salah seorang penduduk turut mengalami kerosakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI