fbpx

‘Muhammad Fakhrul sering bersalaman, mohon maaf sejak minggu lalu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba ketika membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta di Jalan Permatang Baru, Kepala Batas, awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Seorang guru yang maut dalam kemalangan bersama rakannya di Jalan Permatang Baru, Kepala Batas di sini, awal pagi tadi dikatakan sering bersalaman dan memohon maaf kepada ahli keluarga sejak minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan ibu saudara Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, Normurni Abdullah, 43, kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bergegas ke hospital berkenaan dari Kulim, Kedah selepas menerima perkhabaran mengenai kejadian tersebut daripada ahli keluarga mereka.

“Dia (Muhammad Fakhrul) seorang yang pendiam namun sejak seminggu lalu, arwah sering bersalaman dan memohon maaf kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya.

“Allahyarham berkelakuan seperti arwah ayahnya yang turut meminta maaf kepada sanak-saudara dan kenalan sebelum meninggal dunia.

“Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu arwah buat kali terakhir namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Jelasnya lagi, Muhammad Fakhrul yang merupakan anak keempat daripada lima beradik belum lagi berumahtangga dan tinggal bersama ibunya yang mengusahakan sebuah tadika di Farlim.

Muhammad Fakhrul merupakan guru Pendidikan Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Shin, di Jelutong manakala Muhammed Ahsan pula ialah guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Tanjung Bunga.

Jenazah Muhammad Fakhrul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Belukar Luas, Naka, Kedah selepas solat Asar, petang ini manakala jenazah Muhammed Ahsan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Zoo, Air Itam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi tadi, kereta yang dinaiki Muhammad Fakhrul dan Muhammed Ahsan terlibat kemalangan dengan sebuah kereta jenis BMW yang dipandu lelaki mabuk.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit manakala pemandu BMW warga tempatan itu tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI