ALOR SETAR – Golongan muda berusia belasan tahun tidak terlepas terkena serangan jantung secara tiba-tiba sehingga berisiko mati mengejut terutama ketika melakukan aktiviti lasak atau sukan yang memerlukan kecergasan tinggi.
Ia terbukti apabila seorang penuntut sebuah universiti di negeri ini yang baru berusia 19 tahun nyaris maut akibat diserang penyakit itu ketika bersenam di gimnasium.
Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Faizal Wan Rahimi Shah berkata, pesakit muda itu mengalami serangan jantung tanpa sebarang simptom selain tidak mempunyai penyakit lain.

“Pesakit mengadu sakit dada yang teruk ketika aktiviti senaman berat di gimnasium dan dia bernasib baik tidak mengalami kesan teruk kerana terus dikejarkan ke kecemasan hospital bagi mendapatkan rawatan awal.
“Saya dimaklumkan pelajar itu yang jarang melakukan senaman tiba-tiba bersenam di gimnasium gara-gara mengikut ajakan rakan,” katanya ketika ditemui di KMC, di sini baru-baru ini.
Kata beliau, kecenderungan rakyat terikut-ikut dengan ajakan rakan atau sukan yang menjadi ‘trend’ atau kegemaran ramai tanpa mengetahui tahap kesihatan diri juga menyumbang kepada kematian mengejut akibat masalah jantung.
“Masih ramai rakyat yang rasa sihat dan tidak tahu tentang tahap kesihatan diri seterusnya melakukan aktiviti lasak sekali gus merisikokan diri kepada kematian mengejut akibat serangan jantung.
“Apa yang paling baik adalah membuat pemeriksaan kesihatan diri dan jika ada penyakit, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum terlibat dalam apa sahaja aktiviti sukan sebagai langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Beliau juga menerima banyak maklum balas daripada orang ramai ketika melakukan ceramah kesihatan bahawa banyak kes kematian mengejut berlaku ketika mangsa melakukan aktiviti sukan berat secara intensif.
“Ada yang mati mengejut ketika bermain badminton, mendaki gunung serta menyertai larian maraton dan berbasikal jarak jauh. Risiko kematian adalah tinggi jika berlaku serangan jantung tanpa rawatan awal di lokasi kejadian,” jelasnya.
Beliau berkata, peringatan dilakukan itu bukan bermaksud untuk menghalang orang ramai menyertai aktiviti sukan lasak atau berat, namun biarlah aktiviti tersebut dilakukan dalam keadaan mereka mengetahui tentang tahap kesihatan diri.
“Ia kerana, orang awam tidak dapat beri pertolongan awal sebab tiada latihan. Lebih menyedihkan jika mangsa terkena serangan jantung ketika bersendirian dan tidak ada orang menyedarinya,” jelas beliau.
Katanya, kesedaran rakyat negara ini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan masih rendah.
“Tahap kesedaran ini berbeza, ada yang datang buat pemeriksaan selepas diberi kaunseling atau berdasarkan pengalaman sendiri iaitu selepas melihat rakan atau saudara maut akibat serangan jantung,” katanya.
Jelasnya, adalah lebih baik seseorang itu mengetahui tentang tahap kesihatannya yang mana jika disahkan mempunyai sebarang penyakit, pesakit boleh mendapatkan rawatan awal.
“Ia lebih baik daripada seseorang itu tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya mempunyai masalah kesihatan dan akhirnya terlewat menjalani rawatan. Ia bukan sahaja memburukkan keadaan kesihatannya tetapi juga memerlukan kos rawatan tinggi,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, terdapat pesakit jantung pada usia 12 tahun yang menghidap penyakit jantung disebabkan faktor keturunan dan tahap kolesterol tinggi.
“Selain faktor keturunan, faktor penyakit jantung adalah disebabkan masalah kolesterol tinggi, hipertensi dan diabetes.
“Selain itu, amalan yang meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung adalah merokok, vape, amalan pemakanan kurang sihat dan stres selain pencemaran udara,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, penyakit berkaitan jantung kekal sebagai penyebab utama kematian di negara ini dengan 18,515 kematian atau 17 peratus daripada jumlah itu berpunca daripada penyakit berkaitan jantung.















