fbpx

Toleransi bukan tiket sertai upacara agama lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tular konsert di sebuah wat Siam di media sosial.

BARU-BARU ini, tular di media sosial mengenai Pesta Loy Krathong yang dianjurkan di sebuah kuil di Bachok, Kelantan yang turut menyelitkan penganjuran konsert dengan penampilan ­penyanyi seksi dari Thailand.

Konsert tersebut berjalan dua hari selepas penganjuran konsert band ikonik dari London, United Kingdom iaitu Coldplay yang berjaya menghimpunkan 75,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penganjuran acara tahunan di kuil itu pada asalnya mendapat permit sah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, namun pe­nganjurannya tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Kerajaan negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, berlaku pelanggaran beberapa pera­turan atau syarat ditetapkan semasa penganjuran pesta dan konsert di kuil itu.

Peraturan yang tidak dipatuhi pihak penganjur, antaranya membenarkan pengunjung Melayu beragama Islam memasuki kawasan pesta dan penampilan artis tidak mematuhi etika kod pemakaian ditetapkan.

Ketua sami di kuil itu, Phor Than Plen berkata, acara persembahan sempena pe­rayaan Loy Krathong itu ­disambut selama 29 tahun di kuil berkenaan dan dianggap acara tahunan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak memahami acara keagamaan, nyanyian, kebudayaan dan permainan tradisional yang diadakan bermatlamat untuk kebaikan kaum Siam dan penganut agama Buddha.

Bagaimanapun, isu yang dibangkitkan mengenai penganjuran konsert itu adalah kunju­ngan masyarakat Melayu beragama Islam semasa acara tersebut.

Meskipun sudah ada papan tanda yang memaklumkan pesta berkenaan tidak dibuka kepada penduduk Islam di pintu masuk, masyarakat Melayu dilihat tetap degil untuk menyertai acara itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, mengikut hukum, umat Islam dilarang daripada menyertai atau meraikan acara agama lain.

Menurutnya, penganjuran konsert di kuil tersebut secara terang menyalahi hukum bagi orang Islam apabila menampilkan artis atau penyanyi yang mendedahkan aurat.

“Umat Islam wajib mengamalkan ayat ke-6 dalam surah al-Kafirun iaitu: ‘Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku’. Ayat ini jelas memberi panduan agar kita tidak perlu meraikan upacara agama lain.

“Ditambah pula penganjuran konsert menayangkan aurat wa­nita. Sebagai umat Islam, kita diajar untuk memupuk budaya to­leransi beragama, tetapi dalam konteks upacara agama lain, tidak perlu kita sertai,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar Mohamad Shukri, umat Islam tidak perlu me­nuding jari dengan menyalahkan pihak tertentu yang menganjurkan acara itu kerana majlis tersebut bukan untuk orang Melayu.

Katanya, tiada keperluan umat Islam bersesak-sesak untuk me­raikan upacara agama lain.

“Sebagai orang Islam, elok jauhkan diri daripada maksiat dan bercanggah dengan ajaran agama. Kita perlu sejenak berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan sama ada ia dibolehkan atau haram di sisi Islam.

“Bagi pihak penganjur pula, mereka sepatutnya lebih tegas dalam aspek prosedur operasi standard penganjuran acara. Jika pada awalnya tidak membenarkan orang Islam menyertainya, mereka sepatutnya laksanakan tindakan itu,” katanya.

Tambahnya, umat Islam khususnya di Kelantan perlu lebih peka dengan perkara asas agama dengan tidak membuta tuli menyertai atau meraikan upacara agama lain selepas ini.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI