fbpx

Melaka paling banyak tempat pembuangan sampah haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu tapak pelupusan sampah haram yang dikenal pasti oleh SWCorp di Melaka baru-baru ini.

PETALING JAYA – Melaka merupakan negeri yang tertinggi mempunyai tapak pelupusan sampah haram iaitu sebanyak 608 tapak dikenal pasti sejak Januari sehingga September lalu.

Daripada jumlah tersebut, di Melaka Tengah mempunyai 214 tapak pelupusan sampah haram, Hang Tuah Jaya (135), Alor Gajah (112), manakala Jasin merekodkan jumlah sebanyak 147.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman berkata, tapak pelupusan itu telah dikenal pasti wujud sejak beberapa bulan lalu.

Ujarnya, tapak sampah haram sekiranya tidak dibasmi akan berlakunya pencemaran air di bawah tanah disebabkan oleh air larut resap (leachate).

“Air leachate akan masuk ke dalam tanah dan seterusnya terus ke sumber air di bawah tanah. Apabila tercemar, kaedah perawatan air minuman oleh syarikat air tidak dapat dilakukan untuk membekalkan air yang benar-benar bersih kepada pengguna.

“Selain itu, pencemaran udara turut berlaku disebabkan oleh pembakaran terbuka dan bau sampah yang terhasil. Ini menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk yang berhampiran. Daripada dua jenis pencemaran ini, pelbagai penyakit boleh berlaku seperti masalah kulit dan sistem pernafasan terhadap manusia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Ahmad Husaini, terdapat dua pihak iaitu individu dan berkumpulan yang merupakan dalang kepada wujudnya tapak pelupusan sampah haram yang mencemarkan alam sekitar ini.

“Pihak individu merupakan orang perseorangan yang mementingkan diri kerana mengambil jalan mudah tanpa memikirkan kesan buruk kepada orang lain atau alam sekitar. Kebiasaannya mereka (individu) tiada sebarang kepentingan dari segi ekonomi atau keuntungan.

“Berbeza dengan berkumpulan atau pengusaha kontraktor yang mana mereka hanya mementingkan keuntungan perniagaan dengan meminimumkan kos pengurusan sisa pepejal yang betul. Pelbagai jenis sisa yang sering dibuang tetapi yang kerap dan berskala besar adalah sisa binaan dan sisa pukal,” katanya.

Jelas beliau, kegiatan ini berlaku kerana pihak tidak bertanggungjawab ingin mengurangkan kos bayaran masuk ke tapak pelupusan yang diwartakan selain mahu menjimatkan masa, tenaga dan kos penghantaran ke tapak pelupusan yang ditempatkan jauh daripada kawasan pembangunan.

“Mereka (pihak tidak bertanggungjawab) melupuskan sisa pepejal yang tidak digunakan lagi di lokasi yang haram atau tidak berdaftar kerana sikap tamak yang mahukan keuntungan dengan meminimakan kos pelupusan sisa.

“SWCorp membelanjakan le­bih RM230,000 sebulan bagi perbelanjaan membersihkan semua tapak pelupusan haram di tujuh buah negeri yang mengguna pakai Akta 672. Sekiranya dikesan oleh SWCorp, tindakan tegas diambil iaitu melalui pendakwaan di mahkamah,” ujarnya.

Sejak Januari hingga September, sebanyak 1,411 buah tapak telah ditutup di Melaka, Perlis; 309 tapak pelupusan sampah haram, Pahang (162), Johor (154), Kedah (129), Negeri Sembilan (35) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (14). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI