fbpx

Keadaan di Gaza makin huru-hara, ratusan penduduk mati setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan rumah yang dibom Israel di Kota Gaza - AFP

PETALING JAYA – Memasuki hari ke-69 konflik di antara Palestin dan Israel dilihat semakin meruncing selain keadaan di Semenanjung Gaza sedang huru-hara akibat serangan Zionis tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.

Wartawan Palestin, Hani Abu Rezeq berkata ratusan penduduk Gaza dibunuh setiap hari selain sebahagian rakyatnya dilayan seperti binatang oleh tentera Israel sepanjang menjadi tahanan mereka.

“Ratusan orang awam yang dibunuh, dibogelkan, dan diculik oleh pasukan pendudukan Israel setiap hari.

“Mayat bergelimpangan di jalanan dan ramai keluarga masih tertimbus di bawah runtuhan, fasiliti hospital lumpuh tak tidak dapat berfungsi sepatutnya untuk menyelamatkan mangsa yang cedera.

“Orang ramai telah dipaksa untuk mengebumikan orang tersayang di jalanan kerana mereka tidak dapat sampai ke tanah perkuburan kerana diserang selain tanah perkuburan sudah penuh atau telah dimusnahkan oleh Israel,” katanya dalam hantaran terbaharu di Instagram malam tadi.

Sementara itu, pelajar bidang kewartawan dari Palestin, Dua’a Ayman Tuaima memberitahu bekalan makanan di Gaza sudah tidak mencukupi dan orang ramai terpaksa memakan apa sahaja untuk terus hidup.

Ayman Tuaima juga sering memuat naik rakaman memaparkan situasi terkini kehidupan penduduk Gaza yang dilihat mencatu makanan masing-masing sehingga ada kanak-kanak terpaksa menangis akibat kelaparan.

Seorang lagi jurugambar Palestin, Motaz Azaiza berkongsi tangisan kanak-kanak yang terpaksa menahan sakit setelah mengalami kecederaan parah akibat terkena serpihan bom rejim Zionis.

Lebih memilukan, kanak-kanak yang dahulunya mampu berlari dan bermain dengan kedua-dua belah tangan serta kaki mereka, kini terpaksa mengesot akibat kehilangan anggota badan tersebut.

Terdahulu, menerusi laporan media tempatan, Timbalan Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Carl Skau memberitahu sembilan daripada 10 penduduk Gaza sedang kebuluran.

“Apabila menyentuh mengenai krisis keselamatan makanan, kami ada buat lawatan semasa jeda kemanusiaan tujuh hari lepas.

“Kami dapati separuh daripada penduduk kelaparan manakala sembilan daripada 10 orang tidak mendapat makanan secukupnya.

“Kini operasi bantuan kemanusiaan berada di ambang kehancuran dan apa yang benar-benar diperlukan ketika ini ialah meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan,” katanya.

Menurut laporan pihak berkuasa kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 18,787 rakyat Palestin terbunuh manakala 50,897 cedera setakat hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI