fbpx

Jakoa cakna isu bawa pulang jenazah Erra Fazira, segera bantu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua Orang Asli semalam buntu untuk membawa pulang mayat ahli keluarga ke kampung halaman.

LIPIS – Usaha untuk membawa pulang dua mayat wanita Orang Asli yang berada di Unit Forensik Hospital Lipis sebenarnya sedang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Lipis setelah mendapat makluman mengenai kematian itu semalam.

Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi berkata, kes itu sebenarnya telah ditangani oleh Jakoa Lipis semalam cuma berlaku kelewatan perkhidmatan penghantaran disebabkan kenderaan jenazah Jakoa Pahang itu berada di Pekan.

“Jakoa Lipis berusaha dengan cuba mendapatkan bantuan daripada pihak lain, namun disebabkan kematian dua wanita itu disebabkan jangkitan Covid-19 dan perlu dihantar ke kawasan pedalaman maka tidak ada pihak yang sanggup membantu.

“Dalam hal ini, kakitangan Jakoa Pahang telah dimaklumkan perkara tersebut serta arahan daripada Pejabat Pengarah Negeri supaya kenderaan jenazah daripada Jakoa Pekan akan bergerak segera ke Hospital Lipis, namun disebabkan tugasan lain berlaku sedikit kelewatan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan mengenai dua suami wanita Orang Asli yang meninggal dunia di Hospital Lipis buntu kerana ketiadaan kenderaan untuk menghantar mayat pulang ke Kampung Sinderut dan Kampung Lenjang, Ulu Jelai untuk pengebumian.

Kedua-dua lelaki Orang Asli berkenaan mengalami tekanan dan sedih sambil mendakwa ketiadaan kenderaan pihak berwajib untuk menghantar mendiang isteri masing-masing yang masih berada di unit forensik hospital tersebut.

Dalam pada itu, menurut Johari, memandangkan kenderaan itu perlu diservis terlebih dahulu kerana jarak perjalanan ke Ulu Jelai jauh dan hanya boleh bergerak ke Lipis semalam.

“Pihak Jakoa sebenarnya maklum serta cakna masalah yang dihadapi oleh waris berkenaan dan urusan penghantaran kedua-dua mayat itu ke kampung maisng-masing segera dilakukan apabila kenderaan berkenaan tiba di Lipis.

“Jakoa sentiasa bersedia untuk membantu menguruskan penghantaran jenazah sekiranya diperlukan walaupun di mana lokasi penghantaran malahan ribuan jenazah masyarakat Orang Asli telah dihantar pulang ke lokasi yang diminta sebelum ini,” katanya.

Johari menjelaskan ada ketikanya, kakitangan Jakoa sendiri menguruskan penghantaran mayat ke lokasi malahan menguruskan  sehingga ke peringkat proses pengebumian.

Beliau berkata, pihak Jakoa menganggap salah faham telah  berlaku disebabkan penyampaian maklumat yang kurang difahami oleh waris mendiang yang sedang dalam keadaan kesedihan dan tertekan kerana kematian isteri masing-masing.

“Jenazah dijangka akan dibawa masuk ke pos pedalaman Kampung Sinderut dan Kampung Lenjang Jumaat dan akan diuruskan sebaiknya sehingga selesai pengebumian,” katanya.

Ujarnya, beliau meminta supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa mendapatkan maklumat yang tepat.

Dalam pada itu, Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Jelai telahpun menghubungi suami kedua-dua wanita yang meninggal dunia itu untuk menyampaikan bantuan hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI