SHAH ALAM – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bertekad meneruskan pemerkasaan dasar dan mutu pendidikan negara termasuk meningkatkan jumlah pemegang taruh sedia ada.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi keyakinan untuk dirinya kekal menerajui Kementerian Pendidikan (KPM).
Jelas Fadhlina, beliau menganggap ia amanah yang cukup berat untuk menempuh pelbagai cabaran pada tahun seterusnya nanti.
“Iltizam kita (KPM) sudah dibuktikan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan agenda pendidikan negara terus diangkat.
“Ia termasuk merangka kurikulum 2027, pengukuhan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan diskusi meja bulat yang turut melibatkan pelbagai pemegang taruh sektor pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di sini, petang ini.
Beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara STDC dan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan (KPM) yang memfokuskan pembangunan tenaga mahir profesional dalam teknologi tinggi semasa dan masa depan.














