fbpx

Nur Zara Mykayla hilang di Bazar Karat ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wani (dua kanan) bersyukur apabila anaknya yang hilang selama kira-kira dua jam di Bazar Karat, Johor Bahru lewat malam semalam ditemukan selamat oleh anggota polis.

JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila anak perempuan mereka yang baharu berusia enam tahun hilang ketika mengunjungi Bazar Karat, di sini malam semalam.

Ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Wani berkata, dia hanya menyedari ketiadaan Nur Zara Mikayla Muhammad Hilmi yang merupakan anak keduanya pada pukul 12.17 tengah malam selepas dimaklumkan suaminya.

Katanya, semasa kejadian tersebut dia tertidur di dalam kenderaan bersama anak bongsunya manakala Nur Zara Mikayla berjalan bersama bapanya di bazar tersebut.

Pasangan suami isteri itu kemudian mencari kanak-kanak berkenaan dibantu rakan sehingga pukul 1.30 pagi di merata-rata tempat, termasuklah di kawasan longkang yang gelap.

“Cari bahagian belakang gelap-gelap dekat longkang besar ada orang mabuk. Takutnya jika angah Mikayla sampai sana. Tak jumpa! Rasa bersalah sebab tertidur sekali dalam kereta. Macam-macam fikir, terus terdetik, anak tu pinjaman Allah SWT. Apa-apa jadi kena reda,” tulisnya di Facebook.

Tambah Wani, dia terus mencari anaknya dengan bertanya beberapa peniaga sebelum seorang daripadanya memaklumkan Nur Zara Mikayla sudah dijumpai dan dibawa ke Balai Polis Sentral.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat pula memberitahu, suasana di Balai Polis Sentral sedikit beremosi apabila pasangan tersebut bertemu semula dengan anaknya yang hilang itu.

“Kami saksikan satu kisah dari Bazar Karat yang menyentuh hati. Adik Nur Zara Mikayla yang hilang kini selamat berada di pangkuan keluarganya setelah ditemui Inspektor Amir Haikal Kasim bersama anggota Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan yang menjalankan Ops Motorsikal di sekitar Jalan Ibrahim-Wong Ah Fook,” katanya.

Raub berkata, Nur Zara Mikayla ketika ditemui Amir berada dalam keadaan takut dan menangis selepas terpisah dengan ibu bapa semasa melintas jalan sebelum dibawa ke balai polis tersebut.-KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI